Hazani Ghazali Komander ESSCOM Baharu

7
0
SHARE

SANDAKAN: Datuk Hazani Ghazali dilantik sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggantikan Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkuatkuasa hari ini.

Hazani, 52, sebelum ini menyandang jawatan Komander Unit Tindakan Khas (UTK) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, menggantikan Wan Abdul Bari yang bersara wajib.

Majlis serah tugas serta penyerahan tongkat kuasa bagi jawatan Komander ESSCOM disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sri Libaran, di sini, sebentar tadi.

Bercakap kepada media, Hazani berkata, beliau akan meneruskan konsep pengoperasian dalam ESSCOM bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sama ada di laut dan darat.

“Saya mungkin akan mengembalikan semula motto ‘tiada hari tanpa operasi’ di ESSZONE dengan sokongan Ketua Menteri dan penduduk pantai timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, Wan Abdul Bari merakamkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Ketua Menteri atas sokongan dan nasihat sepanjang mengetuai ESSCOM sejak Disember 2015.

Terdahulu, Musa berkata, kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan ESSCOM diketuai Wan Abdul Bari sebelum ini dalam menjaga keselamatan pantai timur Sabah.

Katanya, kejayaan mematahkan serta menumpaskan cubaan menculik di Lahad Datu dan Semporna sehingga membunuh penjenayah yang terbabit, membuktikan keupayaan ESSCOM memastikan kedaulatan negeri serta kesejahteraan rakyat terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam aspek keselamatan negeri.

“Ini dibuktikan melalui penyediaan aset keselamatan negeri khususnya di pantai timur melalui bantuan kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah banyak memberi bantuan dan sumbangan dalam memastikan penyediaan aset keselamatan bagi Sabah khususnya di ESSZON,” katanya.