Hasan Calon Pilihan Ramai

153
0
SHARE

ROMPIN: Ketika PAS menurunkan calon muda, Nazri Ahmad, 40, bagi menembusi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, pemilihan Datuk Hasan Arifin, 62, dilihat sebagai penghargaan kepada orang lama dan veteran untuk muncul semula dalam landskap politik negara.

Datuk Hasan yang masih kelihatan gugup dan mengelak dari liputan media percaya bahawa beliau masih boleh menyumbang kepada rakyat dan masyarakat.

“Walaupun saya pencen sebagai wakil rakyat tetapi khidmat saya berterusan. Saya masih pegang jawatan dalam bahagian dan aktif dalam kegiatan masyarakat,” ulas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin yang menggantikan tempat Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

“Lagi pun saya masih muda. Cuba kamu teka berapa umur saya? Macam 40 tahunkan?” Selorohnya bersahaja yang ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman juga berasa bangga kerana pencalonan semula Hasan iaitu seorang tokoh berpengalaman sebagai wakil rakyat.

“Beliau ialah calon ketiga wakil rakyat dari ahli Mubarak. Yang pertama ialah Datuk Othman Abdul mewakili Pendang dan mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mewakili Kijal.

“Ini adalah strategi dekati orang-orang lama, bukan orang-orang muda sahaja. Orang lama kalau merajuk susah,” ulasnya.

Pendapat sama diutarakan oleh Ketua Veteran UMNO Rompin, Datuk Abdul Rahim Ibrahim yang mengenali Hasan sebagai orang lama yang meneruskan perkhidmatan kepada rakyat walaupun bukan wakil rakyat.

“Beliau adalah calon pilihan yang paling layak dan paling sesuai ketika ini. Beliau berpengalaman sebagai Timbalan Menteri Besar dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Selain itu, pernah menjadi Adun Rompin 1986-1990 dan Adun Ibam penggal 1990-2004. Veteran merasakan ini adalah calon pilihan yang tepat,” jelasnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pula percaya pengundi sudah cukup matang untuk menilai calon dengan mengambil kira khidmat dan sumbangan mereka kepada rakyat.

“Tua atau muda tetap ada baik dan buruknya. Datuk Hasan ternyata boleh mewakili golongan tua dan muda, kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta semua warna kulit. Beliau bukan sahaja dikenali oleh orang lama tetapi juga disukai oleh orang muda,” jelas Ahli Parlimen Sembrong, Johor yang bersempadan dengan parlimen Rompin.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, tidak timbul soal sama ada calon orang lama atau baru kerana Hasan mudah didekati oleh penduduk sejak sekian lama.

“Walaupun beliau telah berusia tetapi tetap menjadi calon pilihan orang muda. Kami gembira dengan calon ini,” ulas ketuanya, Mohd Shahar Abdullah.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula beranggapan Rompin begitu mencabar kerana keluasan geografinya.

“Rompin ini satu kawasan Parlimen yang besar. Keluasannya bersamaan dengan campuran antara Negeri Sembilan dan Melaka. Semalam kami pusing beberapa PDM sahaja sampai 13 jam!”

Kekuatan ini dapat dilihat dengan jumlah jentera wanita Rompin seramai 1,817 orang dan jika ditambah dengan jentera wanita dari luar akan mencecah seramai 3,000 orang.

“Di sinilah kelebihan Datuk Hasan di mana hampir ke semua PDM yang kami pergi, beliau dikenali oleh ramai orang.”

 

Oleh: Faizal Riduan