Harta Intelek Bakal Jadi Sumber Kekayaan Negara – Najib

146
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Intellectual Property Monetisation, strategi yang dirangka bagi menjadikan harta intelek sebagai satu sumber kekayaan baharu yang mampu mentransformasikan ekonomi negara.

Beliau berkata pelan tersebut juga mampu meletakkan Malaysia bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

“Kita perlu berdaya saing ke arah negara berpendapatan tinggi yang tidak bergantung kepada sumber-sumber tradisional dan fizikal, tetapi hendaklah berasas kepada sumber kekayaan baharu seperti sumber intelektual,” katanya pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2015 hari ini.

Najib berkata bagi memastikan momentum kelangsungan kejayaan ini, rakyat perlu lebih berinovasi dan kreatif serta sentiasa mencipta nilai tambah untuk menghasilkan produk dan teknologi yang berimpak tinggi bagi pasaran tempatan dan global.

Perdana menteri berkata, Malaysia yang mempunyai kaitan budaya dengan negara-negara Asean, China dan India, perlu mempertingkatkan pengeksportan seni dan budaya melalui kreativiti tersendiri.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata inisiatif mmperkasakan ekosistem harta intelek negara menunjukkan keberkesanan apabila angka permohonan mencatatkan peningkatan setiap tahun, iaitu pada purata 6%.

Ini membuktikan harta intelek merupakan penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara, katanya.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk menimbang menyediakan peruntukan bagi permohonan pendaftaran harta intelek tertentu dalam usaha meningkatkan lagi bilangan permohonan.

Sebanyak 42% daripada jumlah keseluruhan permohonan harta intelek adalah daripada kalangan pemohon tempatan berbanding dari luar negara.

Beliau turut menggesa pihak institusi kewangan untuk membangunkan kapasiti dalam menilai projek berasaskan harta intelek berikutan masalah kekurangan dana dalam kalangan pemilik harta intelek.

“Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bersama-sama dengan pihak berkepentingan akan menghasilkan satu ekosistem yang lebih dinamik lagi mampan, serta melahirkan satu sektor ekonomi berlandaskan inovasi dan kreativiti bagi menyokong status negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri KPDNKK Datuk Hamzah Zainudin.