Hari Kedua Bersih 4.0 Lebih Terkawal

204
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Bersih 4 yang memasuki hari kedua dan bakal berakhir tepat jam 12 tengah malam ini bermula lancar dengan lebih kurang 5,000 orang bertahan dengan bermalam di kawasan berdekatan Dataran Merdeka sejak semalam.

Kumpulan demontrasi memulakan aktiviti harian dengan bersenaman dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Beberapa pemimpin pembangkang dan sukarelawan dilihat mengedarkan sarapan ringan kepada para peserta.

Lebih kurang 5,000 orang peserta lagi muncul menjelang tengah hari tadi dan dijangka ramai lagi bakal menyusul menjelang sambutan ambang kemerdekaan malam ini.

Walaupun Dataran Merdeka tidak menjadi hos lokasi sambutan ambang kemerdekaan yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil malam ini, penyokong Pakatan Rakyat (PR) tetap meraikan sambutan kemerdekaan di tapak nostalgia tersebut sebagai kemuncak protes unjuk rasa Bersih 4.

Tiga pentas untuk tujuan ceramah dibina berdekatan Dataran Merdeka, hadapan Bank OCBC di Masjid Jamek dan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Penganjur kemudian cuba mengawal keadaan riuh-rendah dengan mengarahkan peserta berhenti menggunakan vuvuzela yang menganggu sistem siar raya dan komunikasi serta bagi tujuan keselamatan.

Peserta juga turut diminta untuk meminimakan aktiviti muatnaik foto dan video ke internet yang menjejaskan kualiti talian internet kepada orang lain.

Pasukan keselamatan sejak semalam dilihat berkompromi, mengelakkan provokasi dan tiada sebarang insiden pertembungan dengan orang awam seperti dalam penganjuran Bersih sebelum ini kecuali dalam kes tangkapan kecil terhadap 26 orang pada sebelah malam kerana memakai baju kuning Bersih 4 yang diharamkan kerajaan.

Beberapa jet pejuang dan helikopter kelihatan merentasi ruang udara bagi meneruskan latihan penerbangan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58 esok.