Harga Rumah PR1MA Masih Bebankan Rakyat – Perwakilan WP

141
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Harga sebuah rumah dibawak projek skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dalam lingkungan RM 200,000 hingga RM 400,000 masih terlalu mahal dan membebankan rakyat, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan M40 dan B40.

Kenyataan itu diluahkan Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafii ketika ucapan perbahasan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO ke-69 yang masuk hari terakhir hari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kata beliau, pihak kerajaan seharusnya mencari jalan bagi menyediakan rumah-rumah mampu milik rakyat yang bernilai kurang dari RM200,000 bagi memastikan golongan ‘miskin bandar’ yang rata-ratanya terdiri dari golongan belia dapat memiliki rumah sendiri.

UMNO Wilayah juga turut berkongsi formula ‘Cross Subsidi’ yang diamalkan mereka dalam menyediakan rumah-rumah kos rendah yang telahpun dilaksanakan pembinaanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Projek perumahan yang dilaksanakan ini langsung tidak menggunakan wang kerajaan, namun menggunakan sepenuhnya keuntungan hasil penjualan rumah-rumah mewah yang ada di bandar bagi membina rumah-rumah kos rendah.

“Harga penjualan setiap unit rumah adalah dibawah RM 200,000 dan hak pemilikan rumah-rumah tersebut dipantau secara ketat, dimana 50% dari rumah tersebut dijual kepada bangsa Melayu, 30% Cina manakala 20% lagi untuk bangsa India,” katanya.

Selain itu, Razlan turut meminta pihak kerajaan supaya berbincang semula dengan pihak Bank Negara berkenaan syarat pinjaman perumahan di bawah skim-skim yang ditawarkan yang dirasakan begitu ketat dan membebankan.

“Berikutan masalah harga rumah yang tinggi dan syarat kelulusan sedia ada, hanya lebih kurang 400 permohonan dari 1,000 yang mendaftar dengan skim tersebut berjaya mendapat kelulusan pinjaman perumahan dari pihak bank.

“Pihak bank seharusnya meneliti semula syarat-syarat pinjaman yang ditetapkan memandangkan nilai pinjaman yang dipohon bagi membeli rumah di bawah skim adalah bernilai rendah, dan seharusnya diberikan kelonggaran memandangkan ianya melibatkan pembelian rumah yang dijamin kerajaan,” tegas beliau lagi.