Harga Minyak Melepasi AS$30 Satu Tong

85
0
SHARE
TOKYO: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) melonjak di atas AS$30 satu tong hari ini apabila berita mesyuarat tertutup pegawai tinggi negara pengeluar utama minyak dunia meningkatkan spekulasi kemungkinan persetujuan dicapai untuk menangani lambakan bekalan.
Minyak mentah AS menokok sehingga AS$1.26, atau 4.3 peratus kepada AS$30.70 menjelang 2334 GMT apabila pasaran dibuka semula selepas sesi cuti umum yang dipendekkan.
Harga minyak meneruskan kenaikan 12 peratus Jumaat lalu. Minyak mentah AS diniagakan sekitar AS$29.76 sebelum berita berkenaan.
Minyak mentah Brent bagi penghantaran April ditutup 3 cents lebih tinggi pada AS$33.39 semalam dan meningkat di atas AS$34 satu tong selepas berita itu, sebelum jam dagangan berakhir.
Dua pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi dan Russia akan mengadakan rundingan bersama rakan dari Venezuela dan Qatar di Doha hari ini, sumber memberitahu Reuters.
Harga minyak jatuh ke paras terendah dalam lebih sedekad sejak setahun lalu disebabkan lambakan bekalan AS dan keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menambah eksport bagi menolak keluar pengeluar berkos tinggi dari pasaran.
Arab Saudi dilaporkan akan mengurangkan output hanya jika pengeluar bukan OPEC bersetuju menyertainya. – Reuters