Harga Minyak Jatuh Ke Paras Terendah Sejak 2004

180
0
SHARE

SINGAPURA: Harga minyak mentah Brent jatuh hari ini ke paras terendahnya sejak 2004 berikutan kebimbangan terhadap lebihan bekalan global dengan pengeluaran dunia kekal menghampiri paras rekod tertinggi dan bekalan baharu meningkat daripada Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Harga kontrak hadapan Brent jatuh hingga ke paras AS$36.32 setong dalam dagangan semalaman sekitar 0000 GMT, paras terendah sejak 2004, sebelum kembali ke paras AS$36.49 setong pada 0203 GMT.

Harga kontrak hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) jatuh 20 sen kepada AS$34.53 setong dan ditutup pada paras rendah tahun ini.

Kedua-dua kontrak penanda aras jatuh lebih dua pertiga sejak pertengahan 2014.

Penganalisis berkata, pengukuhan dolar AS berikutan peningkatan kadar faedah AS minggu lalu, menjadikan penggunaan minyak lebih mahal untuk negara yang menggunakan mata wang berbeza, dan peningkatan semula jumlah pelantar minyak AS memberi tekanan kepada harga minyak.

“Jumlah pelantar minyak AS meningkat semula minggu ini, naik sebanyak 17 (kepada 541), sekali gus mengakhiri kejatuhan dalam tempoh empat minggu berturut-turut,” kata Goldman Sachs.

“Peningkatan dalam pelantar minyak dalam persekitaran harga minyak mentah yang rendah mencadangkan pengeluar syal komited mengekalkan paras pengeluaran. “Perangkaan pengeluaran yang kukuh mencerminkan peningkatan stok simpanan minyak mentah AS, yang meningkat kepada 491 juta tong,” kata bank ANZ. – Reuters