Harga Minyak Dunia Terus Jatuh

25
0
SHARE

PETALING JAYA: Harga minyak dunia dijangka terus mengalami penyusutan dalam tempoh beberapa tahun.

Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde berkata, lantaran itu negara-negara Teluk digesa supaya menyelaraskan bajet masing-masing dengan tidak terus bergantung kepada pendapatan minyak dan gas.

“Kami yakin harga minyak akan berterusan rendah pada tahap ini untuk beberapa tahun lagi dan negara-negara Teluk perlu melakukan penyelarasan fiskal,” katanya yang dipetik dari agensi berita AFP.

Menurut Lagarde, IMF mengunjurkan pertumbuhan negara-negara Teluk menguncup daripada 3.2 peratus tahun ini kepada 2.7 peratus pada tahun depan.

Pendapatan eksport juga lebih rendah kepada AS$275 bilion berbanding pada tahun 2014 disebabkan harga tenaga yang rendah.

“Harga minyak menyusut lebih separuh sejak awal tahun 2014 dengan penanda antarabangsa, brent didagangkan pada AS$47.42 setong untuk penghantaran bulan Disember.

Lagarde berkata, penyelarasan fiskal itu perlu dikawal dalam perbelanjaan khususnya dalam pendapatan sektor awam dan menggalakkan pertumbuhan sektor swasta.

“Strategi penyatuan fiskal perlu dilakukan secepat mungkin dan jelaskan kepada rakyat bagaimana penyelasaran akan dilakukan,” ujarnya sambil memberitahu negara-negara Teluk yang dimaksudkan termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.