Harga Makanan Dan Minuman Memang Naik, Tetapi Minimum

33
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Harga makanan dan minuman sejak tahun 2013 sehingga kini hanya mengalami kenaikan yang minimum.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, beliau tidak menafikan memang berlaku kenaikan harga barang sehingga memberi kesan terhadap harga makanan.

Tetapi katanya, kenaikan harga makanan yang menjadi kegemaran rakyat negara ini seperti nasi ayam, nasi lemak, roti canai termasuk teh tarik turut mengalami peningkatan tetapi sedikit.

“Nasi ayam mencatatkan kenaikan 1.1 peratus, nasi lemak 3.3 peratus, roti canai pula 1.6 peratus dan teh tarik mengalami kenaikan harga sebanyak 3.7 peratus sejak tahun 2013.

“Harga makanan laut seperti ikan dan kerang pula ditentukan faktor penawaran dan permintaan dalam keadaan tertentu.

“Kalau kurang (bekalan), kerajaan akan ambil tindakan yang perlu untuk pelbagaikan sumber bekalan supaya keperluan mencukupi sekali gus dapat mengimbangi harga barang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Idris Jusi (PKR – Batu Pahat) berhubung langkah kerajaan supaya harga barang dapat diturunkan.

Henry berkata, antara langkah lain kerajaan bagi memastikan harga barang dapat dikawal adalah dengan memberi subsidi terhadap barang tertentu.

Katanya, ia membabitkan pemberian subsidi ke atas bahan api merangkumi petrol RON95 dan diesel.

“Antara barang lain yang turut mendapat nikmat subsidi adalah , beras, gula dan tepung gandum.

“Selain itu, kerajaan juga melaksanakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dan turut memberi diskaun elektrik sebagai usaha mengimbangi kenaikan harga,” katanya.