HARAPAN Ikrar Selesai Masalah Kos Sara Hidup

12
0
SHARE

SHAH ALAM: HARAPAN mengeluarkan dokumen resolusi konvensyennya hari  ini yang diberi nama Muafakat Pakatan Harapan, berupa janji-janji parti-parti dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-14 ini.

Ketua setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah membacakan janji-janji itu dalam di IDCC, Shah Alam.

“Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya saing.

“Sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi,” kata Saifuddin membacakan pembukaan dokumen Muafakat HARAPAN itu.

Dokumen itu menggariskan 13 janji untuk dilaksanakan jika mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-14 nanti.

Antaranya, HARAPAN berjanji untuk mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat,” kata Saifuddin.

Muafakat HARAPAN berikrar membentuk kabinet berwibawa selain memperkukuh parlimen. HARAPAN juga berjanji melaksanakan reformasi menyeluruh di Malaysia.

“Meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial,” kata Saifuddin.

HARAPAN akan mengehadkan tempoh masa memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal pilihanraya sahaja.

“(Ia) untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negara,” kata Saifuddin.