Harap Muhyiddin Turut Tinggalkan UMNO – Nazri Aziz

910
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz berharap agar Tan Sri Muhyiddin Yassin turut sama meninggalkan Umno.

Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata antara perkara yang penting perlu dimiliki oleh ahli di dalam parti Melayu itu ialah kesetiaan terhadap presiden yang telah terbukti ia akan menyelamatkan Umno.

Nazri berkata sebelum ini terdapat pergolakan dalam Umno seperti pemecatan Datuk Seri Harun Idris oleh Tun Hussein Onn, pergaduhan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beberapa individu seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya cukup yakin Umno akan ok. (Kita) tidak akan biarkan individu mempengaruhi dan hancurkan kepimpinan Umno sepertimana yang cuba dilakukan Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mahathir sekarang ini.

“Saya harap mereka keluar partilah,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dan FMT di Shangri-la Hotel Kuala Lumpur.

Semalam, Mahathir mengumumkan keluar daripada Umno buat kali kedua sejak 2008 dan berharap supaya Muhyiddin mengikut jejaknya.

Sementara itu, penganalisis politik turut menjangkakan anaknya, Mukhriz akan melakukan perkara yang sama.

Nazri yang juga menteri pelancongan, ketika ditanya mengenai pelawaan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mengajak Muhyiddin menyertai mereka, menyambut baik perkara itu.

“Baguslah kalau AMANAH ajak, pergilah, itu lebih baik,” katanya sinis.

Sebelum ini AMANAH mempelawa Muhyiddin menyertai parti itu bagi melakukan perubahan kepada rakyat. – MK