Guan Eng Mungkin Dijangkiti Sindrom “Mudah Lupa” – Rahman Dahlan

17
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pertelingkahan antara menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng nampaknya masih belum menunjukkan tanda akan berakhir.

Abdul Rahman dalam catatan di Twitternya petang tadi mempersoalkan ‘daya ingatan’ Lim selepas pemimpin DAP itu menafikan penjelasannya berhubung pembatalan debat antara mereka tahun lepas.

“Lim Guan Eng mempunyai ingatan yang amat pendek. Debat itu adalah mengenai (isu) Taman Manggis dan banglo.

“Lim mungkin dijangkiti sindrom ‘mudah lupa’ daripada pemimpin Umno sebelum ini yang kini menjadi kawan baiknya,” kata Abdul Rahman yang jelas merujuk kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir, yang kini merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia, pada perhimpunan agung Umno tahun 2001 menulis puisi bertajuk “Melayu Mudah Lupa”.

Awal hari ini, Lim berkata beliau tidak didakwa berhubung kontroversi tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau berkata kenyataan Abdul Rahman bahawa debat itu akan mensabitkan Lim adalah tidak berasas.

Bagaimanapun, Abdul Rahman menegaskan bahawa debat itu merangkumi topik pembelian banglo di bawah harga pasaran yang didakwa dilakukan Lim.

“Lim juga mungkin terlupa bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid (Abu Bakar) dan Pengarah SPRM menasihatkan debat itu mungkin mengganggu siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Abdul Rahman turut mempersoalkan usaha Lim menangguhkan perbicaraannya dengan membangkitkan isu-isu perlembagaan walaupun sebelum ini menyatakan beliau tidak sabar membuktikan dirinya tidak bersalah pada perbicaraan itu.

Perang mulut antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Lim memuji Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz kerana ingin meneruskan debatnya dengan Mahathir selepas acara debat yang dijadual di Kuala Kangsar dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran polis.

Lim kemudian berkata, tidak seperti Nazri, Abdul Rahman merupakan seorang pengecut kerana enggan berdebat dengannya.

Perdebatan antara Nazri dan Mahathir dijadualkan semula pada 7 April di Shah Alam, Selangor.

SHARE
Previous articleHanya 26 Laras Senjata Api Rela Hilang – KPN
Next articleMangsa Culik Terima Rawatan Kelas Pertama – Najib