Guan Eng Menang Saman Fitnah Ke Atas FMT

212
0
SHARE

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mendapati portal berita, Free Malaysia Today (FMT) bersalah, kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung artikel bertajuk “Guan Eng telah gagal, kata NGO” yang disiarkan dua tahun lalu.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan mengarahkan ketiga-tiga defendan itu – FMT, seorang wartawannya dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membayar pampasan RM300,000 berserta faedah lima peratus setahun dan bayaran kos perundangan sebanyak RM30,000 kepada Guan Eng.

Nordin dalam penghakimannya berkata, mahkamah telah mengambil kira hujah kedua-dua pihak dan mendapati kenyataan pakar warisan, Prof Jimmy Lim yang disiarkan FMT pada 6 Disember 2013 berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi Setiausaha Agung DAP itu.

“Berita itu didapati memfitnah dan merosakkan reputasi serta kedudukan plaintif,” katanya.

Nordin turut mengarahkan portal berita terbabit menarik balik artikel berkenaan.

Guan Eng diwakili N. Murali, manakala Jimmy Lim diwakili Baljit Singh, V Amareson dan Rowena Yam.

FMT dan Athi Shankar pula diwakili Clement Lopez.

Menurut Lopez, anak guamnya akan mengemukakan rayuan bagi ‘melindungi integriti kewartawanan’.