Guan Eng Desak Najib Beri Penjelasan Derma RM2.6 Bilion

468
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “membersihkan” wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak sebagai derma dan bukan rasuah, lebih banyak persoalan tercetus menyebabkan perdana menteri perlu beri penjelasan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Di sebalik pengumuman SPRM wang itu bukan datang daripada syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata ada beberapa soalan perlu Najib jawab.

“PM perlu keluar dan jelaskan. Pertama, dari mana sumber wangnya?

“Kedua, kuantumnya amat mengejutkan. Jumlahnya sangat besar.“Ketiga, (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir Mohamad ada berkata dia tidak pernah letak (dana politik) dalam akaun peribadinya, jadi mengapa dia (Najib) letak dalam akaunnya? Ini tidak betul,” kata Lim ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Dakwaan mengenai Najib menerima wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya kali pertama dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu, yang turut menambah tidak tahu sumber wang berkenaan.

Najib hanya menafikan mengambil wang 1MDB untuk kegunaan peribadi tetapi tidak bercakap apa-apa mengenai pindahan wang ke akaunnya.

Kenyataan SPRM malam tadi juga tidak menyatakan dari mana derma itu datang.

Menjelang pengumuman SPRM berhubung RM2.6 bilion itu daripada penderma, beberapa pemimpin Umno pada minggu lalu membangkitkan isu derma politik, mencabar pembangkang, terutamanya daripada DAP, untuk mendedahkan sumber kewangan mereka.

Najib dalam ucapannya kepada ahli akar umbi pada hujung minggu lalu turut mencabar parti pembangkang untuk mendedahkan sumber derma mereka jika Barisan Nasional berbuat demikian.

Lim hari ini berkata DAP “tidak menyembunyikan apa-apa” berkaitan dana politik, susulan tuduhan terkini Putrajaya parti pembangkang adalah batu penghalang kepada inisiatif seumpama itu apabila tidak mahu mendedahkan siapa pendermanya.

“Tidak ada apa-apa hendak sembunyi. Tiada masalah.

“Tetapi jangan beritahu saya, orang beli tiket RM20, RM50, RM100 (di majlis kutipan dana) dan anda mahu kami beritahu siapa mereka.

“Kami tidak akan berbuat begitu. Tidak adil,” kata Lim.

Lim yang menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di lobi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang hari ini terdahulu dalam ucapannya berkata badan pelaburan negeri perlu faham perbezaan antara derma dan rasuah.

“Hanya dengan perbezaan itu kita dapat yakinkan rakyat dan pelabur kita ada persekitaran yang kondusif untuk perniagaan dan menjadikan Pulau Pinang hub pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/guan-eng-desak-najib-beri-penjelasan-derma-rm2.6-bilion#sthash.cvgpm4kX.dpuf

SHARE
Previous articleMinta Air Teh Sebelum Maut Dilanggar
Next articleSPRM Adakan Solat Hajat Untuk Kakitangannya