GST: Kastam Kutip Lebih RM30 Bilion Sejak April

226
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion setakat hari ini sejak pelaksanaannya April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata ia merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar dengan sistem tersebut.

Beliau berkata nilai kutipan itu melebihi angka yang disasarkan, bagaimanapun enggan mengatakan sasaran berkenaan, dan menjangkakan ia bertambah pada tahun depan.

“Setakat ini kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan),” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru di Melaka hari ini.

Seramai 250 orang penguasa kastam menerima sijil selepas menjalani latihan selama 8 minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee dipilih sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Matrang berkata JKDM  mengisi lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

“Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara mengikut cabang dan kekosongan,” katanya.