GST Jadi Penyelamat Kewangan, Ekonomi Negara – Najib

226
0
SHARE

PUTRAJAYA: Pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi penyelamat kepada kewangan kerajaan dan ekonomi negara dalam berdepan keadaan persekitaran yang amat mencabar, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana menteri berkata, pengenalan cukai tersebut yang sudah masuk 9 bulan pelaksanaan memberi faedah dan manfaat dalam meningkatkan pendapatan negara.

“Boleh saya katakan, GST ini adalah penyelamat kepada kewangan kerajaan dan ekonomi negara,” katanya yang juga menteri kewangan pada perhimpunan khas bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini.

Setakat Disember 2015, hasil kutipan bersih GST diunjurkan sebanyak RM27.126 bilion, daripada kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion.

Kutipan bersih GST ini dianggarkan akan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini.

Menurut Najib, cukai tersebut yang walaupun menjadi kontroversi, daripada aspek mikronya juga menampung hasil kerajaan yang mengalami pengurangan hasil cukai petroleum.

Menyifatkan tahun 2016 sebagai lebih mencabar, Najib berkata jangkaan pendapatan negara daripada petroleum akan menyusut sebanyak RM30 bilion.

“Harga minyak juga dijangka kekal rendah pada 2016. Penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion.

“Tetapi kalau kekal pada paras AS$32, AS$35 atau AS$36 setong, penyusutannya lebih RM30 bilion,” katanya. – INSIDER