GST Bantu Negara Ketika Harga Minyak Jatuh – Najib

220
0
SHARE

KANGAR: Hasil daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) membantu kewangan negara ketika Malaysia berhadapan dengan kejatuhan harga minyak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Mujur kita ada GST, kalau tak ada GST, memanglah tertekan kewangan kita.

“Tertekan sebab bila harga minyak merudum, bermakna dividen Petronas berkurangan, royalti berkurangan. Daripada mana kita nak tampung banyak belanja.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020 hari ini.

Najib berkata pelaksanaan GST bukan untuk menyusahkan rakyat dan beliau berpegang kepada prinsip “daripada rakyat kita akan kembalikan kepada rakyat”.

“Saya berjanji kepada rakyat (hasil) tambahan daripada GST ini kita akan paparkan dalam bajet akan datang ke arah mana kita belanjakan duit tambahan itu,” katanya.

Najib menjelaskan masalah berhubung GST timbul apabila ada peniaga yang tidak jujur dan memanipulasi keadaan.

“Seperti Shahidan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim) sebut dia (peniaga) tambah GST tetapi SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dia tak mansuh,” katanya sambil menjelaskan GST kini dilaksanakan di 160 buah negara.

Sehubungan itu, Najib meminta orang ramai memilih peniaga yang jujur dan tidak mengambil kesempatan.

“Kita pilihlah tempat dan peniaga yang menjual barang dengan harga yang berpatutan.”