Giatkan Pelaburan Berhemat Dalam Sektor Strategik – Najib

77
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar mengambil langkah menggiatkan lagi pelaburan secara berhemat dalam sektor strategik bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dan mampan dengan perancangan yang berpaksikan rakyat serta berkeyakinan negara dapat mengharungi cabaran ekonomi semasa.

“Bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan secara menyeluruh daripada pelbagai kumpulan dan lapisan masyarakat, pagi ini pula saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil persatuan pengguna serta syarikat berkaitan kerajaan. “Ada beberapa cadangan dan maklum balas yang telah diketengahkan dan dibincangkan.

Saya dan Kementerian Kewangan akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya kepada cadangan-cadangan ini,” kata Najib menerusi catatan terbaharu di blognya NajibRazak.com hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, didorong oleh kejatuhan harga minyak yang kini berada di bawah paras US$30 setong dan kejatuhan harga komoditi, diunjurkan bahawa keadaan ekonomi global akan menjadi semakin mencabar.

Beliau menjelaskan keadaan ini telah membawa kepada penyemakan semula ramalan pertumbuhan ekonomi negara-negara seluruh dunia.

“Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ekonomi semasa yang memberi kesan kepada pendapatan negara dan seperti mana yang diketahui, saya akan mengumumkan penyesuaian semula Bajet 2016 pada 28 Januari kelak,” katanya.