GHB Ni Jin, Manusia Atau Mamalia? – Nik Abduh

321
0
SHARE

SHAH ALAM: PAS belum boleh mengadakan hubungan politik dan menentukan sikap terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS kerana masih belum jelas bentuk dan kedudukannya.

Ketua Pemuda PAS berkata Nik Abduh Nik Aziz, PAS masih belum berbuat demikian kerana tidak meniktiraf GHB yang menurutnya tidak jelas sama ada ia “jin atau manusia” dan “mamalia atau amfibia”.

“GHB masih lagi satu masalah dan isu dalaman PAS. PAS tidak memberi sebarang pengiktirafan pada GHB, kerana masih tidak jelas sama ada ia jin atau manusia.

“Sehinggalah ia jelas dan rasmi, barulah PAS boleh membuat polisi terhadap mereka.

“Apabila mereka wujud secara rasmi, insya-Allah hubungannya ada. Macam mana hubungan itu, diteliti kemudian nanti.

“Sekarang tidak boleh lagi sebab tidak tahu lagi mereka ini mamalia atau amfibia,” katanya sinis.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Wacana Merdeka “Selamatkan Malaysia” di Shah Alam baru-baru ini. Petikan ucapan beliau itu disusun dan disiarkan dalam portal Harakahdaily semalam.

Bagaimanapun, Nik Abduh berkata PAS boleh menentukan sikap yang jelas termasuk selepas GHB dibentuk dengan jelas dan rasmi dan buat masa ini PAS cuma mengadakan perjumpaan secara individu, bukan atas nama parti.

“Kalau mereka buat kumpulan tidak rasmi, kemudian ajak kumpulan PAS, itu tidak kena. Kerana PAS adalah institusi parti politik yang sah, sedangkan GHB bukan NGO mahupun parti politik,” katanya.

Bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti itu Jun lalu, menubuhkan (GHB) dan hujung minggu lalu mengumumkan menubuhkan Parti Amanah Negara dengan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang hanya menyertai pilihan raya umum pada 1978.

Ekoran itu juga keanggotaan 22 bekas pemimpin PAS kemudiannya tergugur secara automatik antaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad dan Hanipa Maidin.

Dalam ucapan Nik Abduh itu juga, beliau mengakui bahawa PAS “tidak gembira” dan “hati terluka” ekoran pengisytiharan mereka keluar PAS yang sama sebelum ini mereka ada “pendidik Pemuda” dan “pembuka laluan untuk berjuang”.

“Sudah pasti ini adalah berita sedih, pun begitu terpaksa ditanggung demi menjaga parti yang kita yakini bahawa ia disediakan Allah di Malaysia ini untuk menjaga ummah daripada tersasar daripada jalan lurus,” katanya.

‘Tidur sini, tapi hentam rumah sendiri’

Dalam ucapannya yang sama, MP Pasir Mas berkata tidak salah anggota PAS menyertai GHB atau beliau sendiri menghadiri majlis dialog bersama dengan kumpulan itu, namun ia memberikan persepsi sebagai tidak elok kepada PAS buat masa ini.

“Kalau saya hadir dialog dengan rakan-rakan GHB, akan ada satu pandangan kata Ustaz Nik Abduh boleh terima GHB. Maka tidak salah kita masuk GHB.

“Maka belum elok dimulakan sehingga selesai hal-hal yang berkait dengan soal dalaman parti,” katanya.

Dalam petikan ucapannya juga, Nik Abduh turut menyindir pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti yang enggan keluar parti kerana mahu menubuhkan parti politik baru.

Walaupun berdepan kesukaran untuk bertindak memandangkan ia melibatkan masalah dalaman parti, Nik Abduh optimis ia boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak memahami agama dan amalan demokrasi.

“Kalau sudah tidak suka bolehlah keluar parti, janganlah beralasan tidak mahu keluar selagi bahtera tidak siap. Ini memalukan dan tidak profesional walaupun ia lahir daripada golongan profesional.

“Hendak tidur sini, hendak makan sini, tapi asyik hentam rumah sendiri. Ini tidak jadi penyelesaianlah.

“Maka kita kata kena keluar sebab orang lain hendak masuk, kerusi dan jawatan kita orang lain menunggu. Jadi penyelesaian yang paling ideal adalah isytihar parti baru, mereka menunggu melompat beramai-ramai,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Abduh menempelak pemimpin PAS terbabit yang enggan keluar parti secara keseluruhan sebaliknya sebahagian mereka berada dalam PAS yang didakwa mahu “melumpuhkan” PAS dari dalam.

“Ini ijtihad dan tindakan yang salah dari sudut syarie, berdosa. Kita duduk di dalam dengan tujuan hendak pegang jawatan dan lumpuhkannya. Jadi ‘makan dalam’, ini salah dan berdosa,” katanya.

Sehubungan itu, anak lelaki kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat itu mencadangkan kepada ahli supaya membuat laporan kepada setiausaha agung PAS supaya tindakan boleh diambil kepada yang terlibat. – MKINI