GHB > Amanah: Rusuk Kiri DAP & PKR?

884
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

Perjalanan politik kumpulan progresif atau profesional dalam PAS baru sahaja bermula dari Gerakan Harapan Baru (GHB) menjadi Parti Amanah Negara (Amanah) apabila penubuhan Parti Progresif Islam ditolak Pendaftar Pertubuhan. Persoalannya mampukah Amanah sebagai parti serpihan PAS melangkah lebih jauh dalam arena politik Malaysia seperti PKR atau bakal tersungkur seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM)?

GHB sebelumnya dengan tema ‘harapan’ mungkin sudah agak klise dan basi untuk politik Malaysia sepaling dekat untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tema ‘harapan’ sudah digunakan oleh Pakatan Rakyat dalam kempen PRU sebelumnya iaitu ‘Harapan Baru Untuk Malaysia” pada PRU-12, 2008 dan “Pakatan Harapan Rakyat” pada PRU-13, 2013. Tema yang juga ditumpang daripada kempen ‘Harapan’ Barack Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat pada tahun yang sama 2008.

Selepas tujuh tahun, dampak peralihan politik negara menuju sistem dua parti hanya tinggal harapan apabila gabungan longgar Pakatan Rakyat akhirnya terlerai dan kemunculan Amanah tidak memperkuatkan sistem dua parti sebaliknya menjadikan parti-parti pembangkang kian berpecah dan terpisah.

Kumpulan 18 (G18) yang gagal menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar dua bulan lalu sebenarnya cuba meniru strategi Kumpulan 16 yang berjaya menggulingkan Yang Dipertua PAS, Datuk Mohamad Asri Muda pada 1977.

Polemik PAS sekarang adalah sama kompleksiti dan dramatik dengan krisis UMNO 1987-1988 yang melibatkan perpecahan antara Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Team B yang diketuai pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah. Bezanya, Abdul Hadi Awang lebih bijak menyingkirkan pencabarnya dengan menggunakan muktamar berbanding Mahathir yang menggunakan mahkamah.

Amanah yang optimis untuk menggulangi kejayaan Presiden Recep Tayyip Erdogan memimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) iaitu sebuah serpihan Parti Refah (sekarang Parti Saadat) mungkin terlupa bahawa penduduk Islam di Malaysia tidak sama dengan populasi penduduk Turki yang lebih 69 peratus penduduk Muslim.AMANAH_PARTI1

Jika PAS sendiri yang belum berjaya menggantikan UMNO selepas 64 tahun kecuali bersama-sama dengan UMNO selama sembilan tahun di dalam Perikatan dan Barisan Nasional, adakah Amanah mampu menggantikan PAS apatahlagi UMNO?
Amanah sewajarnya meneladani strategi Anwar Ibrahim, sosok yang bijak dalam membaca politik realiti dan politik aktual. Apabila disingkir daripada UMNO dan dipelawa menyertai PAS, Anwar memilih untuk menubuhkan parti baru dengan fundamental baru apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) iaitu antara parti politik tertua sejak 1955 yang tidak pernah memenangi walau satu kerusi dalam pilihan raya.

Anwar memilih untuk menjuarai parti pelbagai kaum, sebuah gagasan ideal untuk Malaysia yang majmuk yang gagal disempurnakan oleh parti terdahulu baik PRM, DAP dan Gerakan. Bezanya Anwar meletakkan Melayu dan Islam menjadi teras parti sesuai dengan norma dan demografi Malaysia. Inilah kelebihan Anwar berbanding dengan  Dato’ Onn Jaafar dan Tengku Razaleig Hamzah. Anwar bukan sekadar memanfaatkan karisma ketokohannya tetapi juga struktur kepartian.

Menyorot PAS sebagai parti serpihan UMNO adalah tidak tepat. Sejarah PAS bermula lebih awal dengan menjejak sejarah dari Bukit Semanggol, Perak dengan parti Islam pertama Tanah Melayu, Hizbul Muslimin pada 17 Mac 1948 yang kemudian diharamkan pada oleh penjajah British dengan Ordinan Darurat 1948.

Sebahagian besar golongan ulama dan agamawan inilah yang menyertai UMNO dan kemudian bernaung di bawah satu badan yang dikenali sebagai Bahagian Agama UMNO sebelum keluar menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Kekuatan PAS bukan sekadar mewakili satu kelompok ‘ulama’ tetapi mewakili keperluan satu kelompok ‘pembangkang’ bagi parti yang mewakili kepentingan Melayu dan Islam.

Kelompangan golongan ulama dan agamawan dalam UMNO tanpa PAS kemudian berjaya diisi oleh Anwar dengan penyerapan jemaah Angkatan Belia Islam (ABIM) yang popular pada awal tahun 1980-an dan 1990-an.

Amanah mungkin berjaya mengeluarkan satu kelompok progresif dan profesional di dalam PAS tetapi ia tidak menjadi keperluan kepada realiti politik Malaysia muktakhir ini. Amanah jika diterima di dalam gabungan Pakatan Rakyat yang baru akan menyebabkan PAS memutuskan hubungan dengan PKR selepas DAP seperti kata dua yang diberikan Mursyidul Amnya, Datuk Harun Din.

Adalah lebih baik pemimpian GHB menyertai PKR daripada menubuhkan Amanah memandangkan mereka sebelum ini turut dikenali sebagai golongan ‘Anwarinas’, namun pemimpin-pemimpin PKR belum tentu memberikan laluan mudah. PAS pula walaupun mengalami krisis terburuk kepimpinannya berbanding krisis 1977-1978 dan 1982-1983, PAS sebagai parti konservatif sama seperti UMNO akan kekal tahan diuji.

AMANAH_PARTI2Sebagaimana PAS berjaya memanfaatkan Revolusi Iran 1979 dan Reformasi Anwar 1998, tidak mustahil PAS akan berdiri sendiri dalam arena politik Malaysia sekurang-kurangnya sebagai kuasa penting di Pantai Timur sebagaimana pengaruh DAP di Pulau Pinang. PAS tidak mempunyai cita-cita besar untuk menguasai Putrajaya seperti PKR, tetapi PKR tidak akan berjaya sampai ke Putrajaya tanpa menunggangi PAS.

Sebaliknya Amanah akan sekali lagi gagal menggantikan PAS sebagaimana PAS masih gagal menjadi alternatif UMNO lewat slogan, “PAS Ganti UMNO”. Sebagaimana serpihan Parti Negara dan Semangat 46 gagal menggantikan induknya, Amanah hanya akan berjaya menjadi parti alternatif PAS di dalam Pakatan Rakyat yang baru, bukan dalam politik Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun Anwar di sebalik tirai besi meraikan Amanah sebagai parti pembangkang yang baharu namun ranjau berduri menanti apabila kedudukan Amanah diposisikan dan diformasikan di dalam gabungan Pakatan Rakyat dan PRU-14 nanti.

Adakah PKR akan menerima Amanah dan PAS seperti BN menerima Gerakan di Pulau Pinang yang menggantikan MCA? Atau PKR akan mengguruskan kedua-duanya secara berasingan seperti Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS, BERJASA, HAMIM dan KIMMA sementara Gagasan Rakyat dengan DAP, PBS dan PRM? Atau Amanah sekadar menjadi seperti IPF yang bukan parti komponen tetapi mesra BN?

Amanah akan sekali lagi menjadi bahan uji sebagai parti pendua dan duplikasi kepada penyokong gerakan Islam. Berbeza dengan PAS yang sukar dikawal, Amanah akan lebih mudah mengikut arahan wisel yang ditiup DAP atau PKR untuk memperkuatkan dominasi masing-masing di dalam Pakatan Rakyat.

Tanggal 16 September 2015 ini akan menjadi detik yang dinantikan untuk melihat pelepasan perjalanan Amanah sebagai sebuah parti politik bersama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang juga tiada hala tuju yang jelas.