Gerakan Budaya Penafian Melayu

34
0
SHARE

Oleh: S.M. Zakir

Prof Dr. Ahmad Murad Merican dalam ucapan beliau pada Mesyuarat Agung PENA memberikan penerangan yang cukup jelas tentang apa yang beliau katakan sebagai ‘penafian Melayu’. Pada era identiti-identiti kaum dan etnik diangkat sehingga mengatasi identiti kebangsaan, apa yang tidak pernah dipersoalkan pada masa negara mencapai kemerdekaan dan setiap kaum menerima asas keperibadian Melayu sebagai identiti kebangsaan kini dipersoalkan dengan gencar.

Malah sehingga kepada tahap menolak, iaitu tidak menerima secara terbuka identiti Melayu adalah identiti kebangsaan negara Malaysia yang melambangkan citra masyarakat Malaysia. Ia termasuk menolak dan ‘menghapuskan Bahasa Melayu secara halus dan berangsur-angsur dalam dasar pendidikan serta lapangan pekerjaan, malah lebih menyeluruh dalam bidang perekonomian dan profesional. Kecenderungan malah boleh dikatakan sebagai ‘gerakan’ adalah sangat terlihat pula dalam lapangan budaya dan sosial. Hal ini menjadi perkara yang lebih membimbangkan untuk masa akan datang.

Ahmad Murad Merican pernah suatu ketika mengkritik Georgetown Festival yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu bukan sahaja menafikan penglibatan masyarakat dan budaya Melayu, tetapi lebih buruk seperti menafikan sejarah orang Melayu sebagai penduduk asal Pulau Pinang. Ini adalah satu gerakan ‘penafian Melayu’ secara halus, dengan ‘meniadakan’ peranan orang Melayu dalam perkembangan sejarah Pulau Pinang. Malah beliau menolak nama Georgetown yang begitu dimuliakan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang, sepertimana jua majoriti penduduk bukan Melayu di situ. Ini kerana nama Georgetown yang asal dan lebih dikenali pada ketika dahulu ialah Tanjung, yakni Tanjung Penaga. Georgetown Festival seperti yang dilihat pada hari ini, meniadakan langsung unsur budaya Melayu dan sejarah peranan orang Melayu di Pulau Pinang, apatah lagi ia menggunakan komunikasi bahasa Inggeris serratus peratus atas alasan keperluan festival bertaraf antarabangsa.

Menghapuskan nama Tanjung Penaga dan menggunakan nama kolonial Georgetown adalah tindakan serampang dua mata pihak tertentu yang mempunyai agenda terhadap gerakan ‘penafian Melayu’ ini. Pertamanya ia bertindak untuk menegaskan bahawa sejarah Pulau Pinang bermula dengan Francis Light, dan sekaligus menafikan bahawa sejarah Pulau Pinang adalah sejarah kedaulatan orang Melayu di bawah pemerintah kerajaan Kedah. Keduanya, ia bertindak untuk menafikan hak dan keberadaan orang Melayu di Pulau Pinang, dengan pelestarian sejarah baru melalui fact-tion (fact dan fiction) keagungan Francis Light serta kaum pendatang ekonomi yang menjayakan sebuah kewujudan negeri jajahan mahkota Inggeris di Pulau Pinang. Pulau Pinang sebenarnya dibuka oleh Nakhoda Intan, ketua orang Minangkabau dari Sumatera yang membuka penempatan di Batu Uban pada tahun 1734 setelah mendapat perkenan Sultan Kedah. Francis Light hanya datang setelah setengah abad Pulau Pinang dibuka, bahkan pada ketika itu telah wujud perdagangan yang melibatkan pedagang dari kepulauan Melayu, Arab dan India.

Gerakan budaya seperti Georgetown Festival, selalunya tidak dipandang sebagai suatu yang merbahaya dalam konteks politik di Malaysia. Tetapi kejahilan ini sepatutnya dibuang, kerana gerakan budaya adalah antara gerakan subversif yang paling berjaya di dunia, terutamanya dalam menghilangkan identiti bangsa asal dan menafikan hak serta sejarah penduduk asal. Hal ini telah berlaku di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan lebih buruk di Israel-Palestin. Malah ia juga telah berlaku secara halus di negara-negara jiran di Asia Tenggara ini sendiri terutama dalam ‘menafikan’ sejarah bangsa Melayu yang kini menjadi kaum minoriti dalam populasi negara bangsa baru yang diwujudkan daripada pembahagian garis sempadan kaum kolonial. Gerakan budaya di Malaysia hari ini adalah gerakan yang berpusat di kota-kota, dengan penggeraknya daripada kolompok yang disebut sebagai ‘vernakular kosmopolitan’. Gerakan budaya kota ini adalah satu gerakan penafian Melayu, yakni bertindak secara halus, tidak langsung atau langsung dalam menolak ‘Melayu’ sebagai teras keperibadian kebangsaan.

Gerakan budaya sepertimana yang diperlihatkan dalam agenda penganjuran Georgetown Festival contohnya, dapat disebut sebagai kolonialisasi fasa kedua yang melibatkan apa yang disebut sebagai ‘internal colonisation’. Dalam konteks Malaysia, maknanya lebih dilihat sebagai ‘penjajahan’ melalui kekuatan ekonomi golongan minoriti atau etnik minoriti yang berhijrah menjadi warganegara sesebuah negara ke atas warga peribumi yang walaupun majoriti dari segi populasinya tetapi amat ketinggalan dari ekonomi dan bidang profesional. Penguasaan secara halus ini dimulakan dengan mencipta ‘garis kabur budaya’, yang menjadikan budaya dan sejarah penduduk asal atau peribumi bertumpang tindih dengan budaya serta sejarah kolonial dan kaum pendatang yang kini menguasai ekonomi serta institusi budaya dan sosial di luar lingkunan pemerintah. Garis kabur ini diprojeksi secara berterusan dan perlahan-lahan ‘menghapuskan’ sejarah asal lantas mencipta sejarah baru daripada fact-tion tadi. Ia dijana di atas kewujudan hibdriti, yakni pelakuran dan pembauran kepelbagaian budaya sehingga tidak wujud lagi satu budaya dominan yang menjadi teras kebudayaan kebangsaan.

Pada jangka masa panjang, kebudayaan kebangsaan yang dicitrakan daripada fasal yang ada dalam Pelembagaan Malaysia yakni berteraskan kebudayaan penduduk asal iaitu budaya Melayu menjadi kabur. Lebih malang lagi ia akan menimbulkan keraguan yang membawa kepada usaha terancang untuk melakukan dekonstruksi terhadap prinsip kebudayaan kebangsaan. Kesan daripada kekaburan dan keraguan yang ditimbulkan terhadap budaya akan merebak kepada pengaburan sejarah dan akhirnya kepada hak peribumi yang diberikan atas dasar kontrak sosial semasa kemerdekaan. Bahkan kontrak sosial yang wujud antara bangsa Melayu dengan kaum lain yang mendapat wargenegara secara jus soli ini juga dipadamkan daripada sejarah. Kenyataan yang dipropagandakan pada hari ini ialah bahawa kontrak sosial ini tidak pernah wujud, dan hanya mitos yang tercipta dalam perjalanan sejarah. Garis kabur budaya diprojeksikan untuk memadamkan sejarah bangsa Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu yang dinamakan Malaysia hari ini. Walaupun makna antropologinya ‘Malaysia’ itu sendiri bermakna gugusan tanah Melayu. Tetapi setiap makna yang tumbuh dari sejarah asal kini diluputkan dengan ‘garis kabur budaya’ tersebut.

Georgetown Festival adalah penganjuran peringkat antarabangsa (walaupun sebenarnya tidaklah berada pada tahap acara bertaraf antarabangsa) yang melambangkan serta mewakili sebuah citra modeniti. Namun sepertimana yang dikatakan oleh Foucault, modeniti itu sendiri adalah projek kolonialisasi dengan apa yang mereka miliki, tadbir dan jalankan adalah menjadikan mereka menyerap ke dalam kerangka Barat. Pemahaman dalam konteks Malaysia pada hari ini pula ialah bagaimana modeniti adalah projek kolonialisasi fasa kedua terhadap penduduk peribumi melalui penguasaan ekonomi dan pengaburan budaya serta sejarah oleh etnik minoriti yang sangat berkuasa dalam ekonomi dan sosial. Ia membawa masyarakat menyerap ke dalam kerangka Barat, memadamkan sejarah asal dan pada masa yang sama meletakkan kelebihan kepada kaum bukan asal yang dibawa masuk dan menjadi bahagian daripada kerangka kolonialisasi Barat itu sendiri. Georgetown Festival sebagai contohnya adalah projek modeniti yang menciptakan ‘garis kabur budaya’ yang memadamkan sejarah serta kebudayaan asal dengan secara sedar atau tidak. Ia berlindung di sebalik citra modeniti, tetapi tangan-tangannya keluar untuk memadamkan budaya dan sejarah penduduk asal, yakni bangsa Melayu di Pulau Pinang.

Ia bermula di Pulau Pinang tetapi tentunya tidak berakhir sekadar di situ.

SHARE
Previous articleJenazah Dijangka Dibawa Keluar Petang Ini
Next articleSyor RCI Pondok Pak Ya Diteliti – Zahid