Ganjaran RM1 Juta Menanti JDT

12
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kejayaan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia Sabtu lalu mendapat pengiktirafan kerajaan negeri Johor yang akan memberi ganjaran sebanyak RM1 juta kepada satu pasukan.

Keputusan untuk memberikan ganjaran itu dibuat menerusi satu Mesyuarat Exco Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

Beliau kemudian mengumumkan ‘durian runtuh’ buat pemain Harimau Selatan itu selepas merasmikan sambutan Deepavali peringkat negeri Johor, di Johor Bahru, malam tadi.

“RM1 juta, ganjaran ini untuk satu pasukan,” katanya ringkas ketika menjawab soalan yang diajukan pemberita.

Ganjaran itu pastinya berbaloi buat anak buah Ulisses Morais yang melakar sejarah membawa pulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama ke Johor sejak 1991 serta kejuaraan sulung kelab itu selepas gagal di pentas akhir 2014.

Sebelum ini pihak pengurusan JDT mengumumkan tidak akan memberikan bonus jika berjaya menjulang Piala Malaysia kerana pemain sudah mendapat bonus ketika menjuarai Liga Super kali keempat berturut-turut yang menjadi keutamaan mereka.

Pada final edisi ke-91 Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, JDT menewaskan juara bertahan Kedah 2-0 dengan gol dihasilkan pada setiap babak oleh Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera minit ke-62.