‘Gadis Belon’ Mengaku Tidak Bersalah Hina Najib

277
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang penari yang didakwa melepaskan belon Bersih 4 dalam majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, mengaku tidak bersalah kerana tingkah laku menghina.

Bilqis Hijjas didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Majistret Nur Azura Murah menetapkan jaminan sebanyak RM500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 26 Oktober depan.

Bilqis, 35, yang terkenal dengan gelaran ‘gadis belon’ diwakili oleh peguam Michelle Yesudas.

Pada Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, tujuh belon kuning dilepaskan di pusat membeli belah Pavilion di ibu negara dalam acara dihadiri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Belon yang dilepaskan dari tingkat lima itu menarik perhatian umum.

Ia dilepaskan ketika Najib menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon yang dilepas antaranya tertulis perkataan “Democracy”, “Justice”, “Free Media” dan kemudian dipecahkan oleh pengawal keselamatan.