Fokus Perjuangan Majukan Malaysia – Najib

45
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai ketua kerajaan beliau sentiasa menumpukan kepada perjuangan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, matlamat itu adalah lanjutan kepada perjuangan negara terdahulu iaitu menuntut kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Selepas negara kita merdeka, perjuangan kita adalah untuk membangunkan negara, memodenkan negara kita dan seterusnya untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Matlamat ini sangat jelas dan setiap hari saya sebagai Perdana Menteri memberi tumpuan sepenuh tenaga dan usaha bagi membawa Malaysia ke arah matlamat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi mengenai perjuangan membangunkan negara serta memodenkan negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 di laman blognya, www.najibrazak.com, hari ini.

Matlamat dan visi itu, kata Najib, sudah pasti menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat. Justeru, beliau mengajak rakyat untuk tidak melayani perkara yang boleh mengalih perhatian daripada berusaha ke arah mengisi visi terbabit.

“Hentikan perbalahan, hentikan menyebar dan mempercayai fitnah, hentikan daripada melakukan kerja-kerja yang tidak bermanfaat.

“Marilah kita bersama-sama dalam satu ikatan yang padu demi menjamin kesejahteraan Malaysia dan menjayakan visi negara kita, InsyaAllah,” katanya.

SHARE
Previous articleSejarah Buktikan Anak Melayu Johor Pantang Berundur – Muhyiddin
Next articleTun M Sahkan Kehadiran Ke PAU 2015