FGV: Isa, Isteri Dijangka Beri Keterangan SPRM Esok

18
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings (FGV), Tan Sri Isa Samad dan isteri dijangka dipanggil untuk membantu siasatan kes syarikat itu esok.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Isa dan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, dijangka memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya di Putrajaya.

Sementara itu, di Kuantan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata seramai 60 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes FGV sehingga hari ini.

Beliau berkata perubahan barisan pengurusan tertinggi FGV seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjejaskan siasatan kes itu.

“Ia (perubahan jawatan) tidak ada masalah, siasatan akan dilakukan seperti biasa berdasarkan keterangan dan maklumat yang kita ada.

“Kita tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam melakukan siasatan kes ini, SPRM adalah badan bebas, kita bangga dengan apa yang kita dapat lakukan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kerajaan Pahang di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pengarah jabatan serta agensi kerajaan negeri.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila bekas Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.

SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.