Fenomena ‘Banjir Termenung’ Burukkan Keadaan

9
0
SHARE

TUMPAT: Fenomena ‘banjir termenung’ memburukkan lagi keadaan beberapa perkampungan di Tumpat, terutama di kawasan pesisir Sungai Golok yang menyebabkan air banjir lambat surut, kadang kala hingga dua minggu ekoran air pasang besar.

Pemangku Ketua Bahagian UMNO Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abd Aziz berkata, Tumpat pula adalah antara kawasan berisiko tinggi dilanda banjir setiap tahun kerana kedudukannya yang terletak di antara Sungai Golok dan Sungai Kelantan.

Justeru, beliau meminta Kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan masalah fenomena ‘banjir termenung’ yang melanda Tumpat setiap kali musim banjir.

“Memang sebilangan besar kampung di Tumpat akan terputus bekalan ekoran air naik dengan cepat disebabkan air kedua-dua sungai melimpah dan kadangkala menyebabkan mereka terperangkap,.

“Ini juga antara masalah setiap kali banjir di Tumpat, namun kami sentiasa bersiap siaga untuk membantu mangsa dari segi pemindahan mereka ke pusat pemindahan menggunakan bot atau pacuan empat roda, menghulurkan bantuan kepada mereka yang terperangkap mahupun sebaik kawasan terjejas pulih,” katanya.

Terdahulu, walaupun air naik hingga ke paras dada, ia tidak menghalang pasukan sukarelawan UMNO dari Parlimen Tumpat meredah banjir menghulurkan bantuan kepada mangsa terbabit.

Operasi penyerahan bantuan disertai Mohd Rosdi bersama-sama 15 sukarelawan bagi mengagihkan bantuan berupa barangan keperluan ke 10 rumah di sekitar Kampung Jal Besar, di sini.

Mohd Rosdi berkata telah menjadi lumrah bagi parti itu menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan, lebih-lebih lagi ketika musim banjir.

Beliau berkata UMNO Bahagian Tumpat akan mengagihkan bantuan kepada lebih 4,000 keluarga yang terjejas secara berperingkat.

Sementara itu, Abdul Manan Mat Said, penerima bantuan di Kampung Jal Besar berkata walaupun rumah beliau dinaiki air hingga ke paras pinggang, UMNO tetap turun padang meredah banjir itu untuk menyampaikan bantuan.

“Bila tiba musim banjir, bila kita ditimpa kesusahan, bencana mereka tetap ada dan tidak pernah menghampakan hulur bantuan, saya berterima kasih sangat,” katanya yang terharu dengan kegigihan pasukan sukarelawan itu.