eUsahawan Galak Rakyat Ceburi Keusahawanan Digital

256
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah melancarkan eUsahawan hari ini melalui program transformasi digital yang bertujuan memberi inspirasi dan pendedahan kepada belia dan usahawan mikro untuk manfaatkan dan menyiap sedia keusahawanan secara digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program berkenaan adalah inisiatif strategic untuk memartabatkan keusahawanan digital di negara ini.

Katanya, inisiatif itu berasakan prinsip ‘blue ocean strategy’ iaitu prinsip-prinsip impak tinggi, pelaksanaan pantas serta kolaborasi pelbagai agensi melibatkan penerapan ilmu keusahawanan digital ke dalam kurikulum Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Institusi TVET mempunyai ciri-ciri unik yang menjadikannya amat sesuai sebagai pusat keusahawanan digital.

“Pertama sekali terdapat kira-kira 270,000 pelajar TVET di institusi awam. Selain itu sebilangan besar institusi TVET awam juga menawarkan kursus sambilan atau kursus sepanjang hayat kepada komuniti setempat,” katanya semasa berucap merasmikan program berkenaan di  Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi.

Najib berkata lagi, hampir 300,000 komuniti setempat telah pun mengambil kursus di kolej-kolej komuniti pada 2014.

Jelas beliau lagi, ia merupakan angka besar dan menerusi pendekatan itu penerapan ilmu keusahawanan digital diperluaskan sekaligus kepada dua golongan yang amat penting iaitu belia dan usahawan mikro.