Enggan Jadi PM Hanya Gimik Politik Anwar – Tajuddin

18
0
SHARE

IPOH: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak jawatan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya gimik politik untuk meraih sokongan peribadi.

Beliau juga menambah pendekatan Anwar itu tidak akan berjaya memandangkan pembangkang ketika ini berdepan perpecahan dalam kalangan mereka.

“Perpecahan itu ditambah penolakan PAS terhadap ajakan Pakatan Harapan untuk menganggotai gabungan tersebut. Dulu DAP dan PKR kuat pun disebabkan sokongan PAS, sekarang berlaku sebaliknya. Saya nak tanya, kalau keadaan ini (perpecahan) berterusan, adakah mereka akan menang?

“Kita tak perlu percaya kepada apa yang diperkatakan Anwar. Dia sebenarnya hanya nak tutup perpecahan yang berlaku dalam pembangkang dan mahu mereka fokus pada PRU14,” katanya selepas Majlis Penutupan Aura Ramadan malam tadi.

Beberapa hari lalu, beberapa portal berita melaporkan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun sejak 2015 memutuskan tidak menawarkan diri sebagai perdana menteri atas alasan mahu memberi tumpuan kepada PRU14.