Empat Sekeluarga Rentung Dalam Kebakaran

14
0
SHARE

GEORGE TOWN: Empat sekeluarga maut dalam satu kebakaran rumah dua tingkat di Pintasan Cecil 5, Pengkalan Weld, George Town sekitar jam 6 pagi tadi.

Mangsa yang maut, seorang wanita warga emas berusia 62 tahun, seorang wanita berusia 35 tahun manakala dua kanak- kanak lelaki berusia 10 tahun dan perempuan berusia 8 tahun.

Tiga mangsa iaitu dua dewasa dan seorang kanak- kanak ditemui di dalam tandas berdekatan ruang tamu di tingkat bawah rumah manakala seorang lagi kanak- kanak ditemui ditingkat atas rumah.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.08 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 20 anggota dan tiga jentera.

Sebaik tiba, pihak bomba mendapati api marak dan kebakaran memusnahkan 60 peratus rumah teres dua tingkat itu.

Api dapat dikawal pada jam 6.32 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 7.10 pagi.

Sehingga kini identiti kesemua mangsa masih belum dikenalpasti.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.