Empat Remaja Hilang Dalam Perjalanan Bercuti Ke Terengganu

143
0
SHARE
JOHOR BAHRU: Empat remaja lelaki dilaporkan hilang  sejak Rabu lepas, ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam di sini, ke Terengganu untuk bercuti.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kesemua mereka yang berusia 21 tahun, dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

“Siasatan mendapati kesemua mereka bertolak dari Seri Alam di sini, pada Rabu kira-kira 9.30 malam dengan menaiki sebuah kereta Honda Accord untuk bercuti di Terengganu.

“Mereka dipercayai melalui jalan Johor Baharu-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat.
Namun, selepas dua jam bertolak, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit masing-masing,” katanya dalam kenyataan, Selasa.

Berikutan kejadian itu, Wan Ahmad berkata kesemua keluarga mangsa terbabit membuat laporan di Balai Polis Seri Alam, semalam.

“Sehingga kini, kesemuanya masih belum dapat dikesan dan di peringkat ini, tiada sebarang maklumat yang boleh menjurus berkemungkinan ada kaitan dengan unsur jenayah,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa agar tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 dan Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Ketika dihubungi, ibu Abu Izzani, Molek Mohd Yusoff, 50, berkata, tiga lagi yang dilaporkan hilang adalah rakan-rakan kepada anaknya yang membesar bersama-sama.

“Mereka sepatutnya bertemu dengan salah seorang sepupunya di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya benar-benar bimbang dengan nasib anak sulung saya dan kawan-kawannya kerana mereka tidak dapat dihubungi. Saya harap mereka selamat dan akan ditemui tidak lama lagi,” katanya.

Molek berkata Abu Izzani adalah seorang pelajar di UniKL MITEC, Nik Syakir Zufayri di Institut Sains Darul Takzim (Instedt), Muhammad Asyraf di Akademi Saga di Shah Alam manakala Luqman bekerja di sebuah pasar raya di Plentong di sini.

SHARE
Previous articleSaya Bukan Rekrut Terbaharu Kit Siang – Muhyiddin
Next articleNajib Sertai Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Asean