Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia Ke Antartika Berjaya

273
0
SHARE

SEPANG: Lapan peserta yang menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika telah selamat sampai di tanah air pada petang Ahad.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, beberapa matlamat kementeriannya sudah dicapai melalui ekspedisi ini.

“Mereka membawa pulang penyelidikan dari segi saintifik yang sangat besar dan saya nampak sebahagian daripada penyelidikan termasuk mengenai perubahan iklim yang ada kaitannya dengan pemanasan global dan sebagainya,” katanya dalam sidang media menyambut kepulangan peserta Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika.

Sementara itu, menurut ketua ekspedisi berkenaan, Dr Mohamad Huzaimy Jusoh ada sampel yang sudah dianalisa di Antartika dan selebihnya akan dianalisa di sini.

“Sasaran penyelidikan kami yang ingin membuat kajian di lapan stesen di sana berjaya dan kami membawa pulang hasil kajian yang kami rasakan sangat signifikan dalam bidang biologi, kimia dan kejuruteraan,” katanya.

Dr Mohd Huzaimy juga berkata, kesemua hasil kajian yang mereka lakukan akan dilaporkan kepada umum kurang daripada setahun.

Beliau juga berkata, mereka akan kumpulkan segala hasil kajian untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

Antara sampel yang dibawa pulang dari Antartika ke Malaysia adalah air, alga, sedimen, lumut, batuan, invertebrat dalam lautan, debunga, tanah selain merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik.

Kelapan peserta merupakan pensyarah daripada universiti tempatan iaitu Dr Mohamad Huzaimy Jusoh , Universiti Teknologi MARA (UiTM); Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir dan Dr Gog Thian Lai, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Dr Emienour Muzalina Mustafa, Universiti Malaya (UM); Aniqah Zulfa Abdul Latif, Universiti Antarabangsa Perubatan Malaysia (IMU); Dr Foong Swee Yeok, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dr Wan Mohd Rauhan Wan Hussin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ekspedisi ini di bawah Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

SHARE
Previous articlePemuda PAS Jangan Ikut Perangai Mat Sabu – Nik Abduh
Next articleSentiasa Berusaha Tarik Masyarakat Cina Kembali Menyokong BN – Ku Nan