Ekonomi Malaysia Di Landasan Kukuh Hadapi Krisis – Najib

210
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia sedang berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk berdepan sebarang krisis berbanding 1998.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah melaksanakan pelbagai perubahan bagi mengukuhkan persekitaran perniagaan secara keseluruhan.

Najib berkata, dalam tempoh 15 tahun lalu, negara ini sudah melaksanakan pembentukan semula struktur penting dalam sistem kewangan dan perbankan yang mengukuhkan sistem kewangan untuk berdepan sebarang gangguan.

Katanya, pasaran bon mata wang tempatan kini berada pada paras RM1.1 trilion, yang ketiga terbesar di Asia. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pasaran ekuiti negara kini bernilai RM1.5 trilion berbanding RM175 bilion pada 1998.

Beliau berkata demikian pada Simposium Pasaran Modal Global 2015 di sini, sebentar tadi. Najib berkata, Malaysia juga perlu membangunkan ekonomi inovasi dalam memastikan kemapanan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Beliau berkata, inovasi yang dimaksudkan bukan saja pengeluaran produk baharu malah lebih kepada budaya untuk memajukan sesuatu perkara.