E-dagang Bantu PKS Luaskan Pasaran Eksport – Najib

150
0
SHARE

PUTRAJAYA: Penembusan pasaran melalui e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia adalah antara strategi yang akan diberi tumpuan bagi memacu pertumbuhan eksport negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini termasuk program eTRADE yang diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah inisiatif Digital Malaysia yang diselaraskan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Dalam program eTRADE, PKS akan dapat memasarkan produk mereka dan mendekati pembeli global melalui e-pasaran antarabangsa seperti Alibaba.com, eBay, Amazon.com, TradeIndia, TMall.com dan JD.com.

“Kerajaan mensasarkan supaya sumbangan eksport PKS ditingkatkan kepada 23 peratus pada 2020, berbanding 19 peratus ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksport Negara (NEC) di Perdana Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perdana Menteri berkata, lima lagi strategi yang akan diberi tumpuan termasuk menggalakkan lebih banyak Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia untuk menjadi juara eksport di peringkat serantau dan global serta memantapkan promosi penjenamaan Malaysia melalui inisiatif Perkongsian Awam-Swasta di bawah Program Promosi 1Malaysia.

Selain itu katanya, MATRADE perlu mempelbagaikan pasaran eksport negara, meningkatkan pengeluaran dan eksport produk pertanian melalui penekanan terhadap Kawasan Kekal Pengeluaran Makanan dan Zon Bersepadu Akuakultur dan memperhebat promosi pelancongan domestik melalui penjualan pakej percutian domestik secara bersepadu.