Dugaan Hebat Menanti Pengganti Mukhriz – Muhyiddin

1595
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah menandakan telah berakhir hari-hari di mana rakyat boleh mempercayai pemimpin membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Telah berakhir hari-hari di mana kita percaya bahawa pucuk pimpinan membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat.

“Nampaknya, dalam episod politik yang mutakhir ini, kehendak segelintir pihak mengatasi kehendak majoriti rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook malam ini.

Semalam, Mukhriz melepaskan jawatan menteri besar Kedah selepas kumpulan Umno yang setia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berjaya menyingkirkannya.

Tindakan itu dilihat sebagai tindakan balas terhadap bapa Mukhriz, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menuduh Najib rasuah dan berikrar untuk menyingkirkan beliau sebagai perdana menteri.

Muhyiddin percaya, ramai rakyat Kedah, bahkan rakyat Malaysia juga, kecewa dengan penyingkiran Mukhriz itu.

“Mereka mungkin lupa bahawa Umno adalah sebuah parti politik yang mengharapkan sokongan rakyat untuk terus kekal relevan.

“Jika sesuatu keputusan dibuat tanpa mengambil kira sentimen dan kehendak rakyat terbanyak, saya bimbang masa depan Umno akan terjejas,” tegasnya.

Menurut Muhyiddin, bukan mudah untuk memperolehi semula kepercayaan rakyat apabila mereka terasa dikhianati.

“Sesungguhnya, dugaan hebat sedang menanti pengganti menteri besar Kedah untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno,” katanya.

Muhyiddin juga merupakan sebahagian daripada kepimpinan pusat Umno tetapi beliau dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal telah dipinggirkan.

Mereka dipecat daripada kerajaan Julai tahun lepas kerana mempersoalkan tentang skandal yang melanda perdana menteri termasuk isu 1MDB dan penemuan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang itu adalah derma politik.

Muhyiddin yakin Mukhriz akan tabah menghadapi dugaan tersebut.

“Mungkin ini satu permulaan kepada perjuangan yang lebih panjang,” katanya. – MK