Dua Pakar Kaji Serpihan Didakwa Milik MH370 Di Selatan Thai

109
0
SHARE

BANGKOK: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Thailand akan menghantar dua pakar ke wilayah Nakhon Si Thammarat esok, untuk menganalisis lebih lanjut serpihan disyaki daripada bangkai pesawat yang dijumpai di wilayah di selatan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Amphawan Wannako, berkata jabatan itu dengan bantuan pegawai Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) juga akan menerbangkan serpihan tersebut ke ibu negara di sini, esok.

“Selain kedua-dua pakar kami yang akan berada di Nakhon Si Thammarat esok, kami juga akan dibantu oleh pakar-pakar RTAF bagi pemeriksaan dan mengangkut serpihan ke Bangkok,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses mengangkut serpihan itu disyaki milik pesawat kemungkinan besar akan dilakukan oleh pesawat Hercules C-130 milik RTAF.

Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pantai di wilayah selatan negara itu semalam, melaporkan mengenai penemuan objek logam besar, berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang, dipercayai milik sebuah pesawat.