Dua Anggota PAC Dibidas Berhubung Kenyataan Mengenai Sesi Dengan 1MDB

50
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dua anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibidas kerana mengeluarkan apa yang disifatkan sebagai kenyataan mengelirukan mengenai sesi jawatankuasa itu dengan seorang pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Jumaat.

Anggota PAC, Datuk Liang Teck Meng berkata, walaupun pengerusi jawatankuasa itu adalah satu-satunya individu yang layak memberikan kenyataan mengenai sesi PAC dan 1MDB, namun dua anggota yang tidak dinamakan itu telah mengetepikan persefahaman yang dipersetujui bersama itu.

“Kerana sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan, dua rakan saya dalam PAC mendapati mereka layak membuat kenyataan selepas sesi PAC semalam, yang telah mengelirukan dan bertujuan menimbulkan prejudis dalam kalangan orang ramai berhubung prosiding PAC.

“Nampaknya, orang berkenaan lebih berminat untuk mempolitikkan prosiding itu daripada mencari kebenaran tentang perkara yang kami siasat,” kata Anggota Parlimen Simpang Renggam itu dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Liang berkata, beliau kecewa dan sedih dengan tingkah laku kedua-dua anggota PAC berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, adalah tidak benar presiden 1MDB Arul Kanda, yang menghadiri sesi itu semalam, tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.

“Sepanjang sesi tiga jam semalam dan sesi lima jam sebelum ini bersama Encik Arul Kanda, hanya satu soalan yang beliau pilih untuk tidak menjawabnya secara penuh kerana ia mempunyai kaitan dengan satu dakwaan melalui media…mengenai perkara yang berkaitan dengan satu pihak luar,” katanya.

Liang berkata, pemberian maklumat secara berpilih dan sebahagian sahaja oleh dua anggota PAC itu tidak memberi gambaran sebenar dan adil tentang apa yang berlaku semasa prosiding pada Jumaat.

“Pada pendapat saya, maklumat yang dikeluarkan secara terpilih itu dilakukan untuk mempolitikkan prosiding ini sekali lagi, dan sekali lagi mengelirukan orang ramai serta mewujudkan prejudis terhadap prosiding kami,” katanya.

Sekiranya perbuatan tidak mengendahkan peraturan PAC dan sengaja mewujudkan prejudis terhadap prosiding jawatankuasa itu terus dilakukan dengan sewenang-wenangnya, Liang berkata tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.

“Malah, pertimbangan patut dibuat untuk merujuk mereka kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

SHARE
Previous articleJangan Berpadu Satu Kaum Sahaja – Azmin
Next articleSejarah Mungkin Berulang Antara PAS Dan UMNO – Mahdzir