Dr Vida Gesa KAFA Selesai Segera Tunggakan Gaji

105
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digesa supaya menyelesaikan segera isu tunggakan gaji bekas pemain Kelantan musim lalu.

Gesaan itu dibuat Penasihat Kehormat KAFA, Datuk Seri Dr Hasmida Othman atau Datuk Vida bagi memastikan persatuan itu tidak lagi dipalit dengan isu tunggakan gaji, sekali gus menjejaskan prestasi pasukan dalam liga musim ini.

“Saya tidak mahu masuk campur berhubung perkara lalu, tetapi saya akan meminta KAFA menyelesaikan masalah tunggakan gaji ini, supaya ia tidak menganggu kutipan mata pasukan untuk musim ini.

“Malah ia akan menjadi penghalang kepada kita (pasukan Kelantan) untuk pergi lebih bersemangat dalam saingan liga musim ini. Saya juga kalau boleh tidak mahu cuci pinggan orang lain (merujuk kepada kemelut yang dihadapi pasukan Kelantan sebelum ini),” katanya kepada FMT, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail dipetik sebagai berkata, KAFA sehingga kini gagal membayar tunggakan gaji lima bekas pemain Kelantan musim lalu berjumlah RM477,000.

Pada masa sama, Datuk Vida turut mengulas prestasi pasukan masih tidak mempamerkan prestasi sebenar permainan.

Katanya, beliau sudah menasihatkan ketua jurulatih pasukan bola sepak Kelantan, K Devan supaya melakukan perubahan segera kepada pasukan sebelum bermulanya liga pada minggu depan.

“Mereka perlu mencari keserasian dan memperbetulkan kekurangan yang ada, saya sudah memberitahu Devan untuk mengubah corak permainan.

“Saya tidak berniat untuk campur tangan tetapi bila saya tengok rentak dan cara permainan (lepas), mereka mengambil masa terlalu lama untuk mengetahui corak permainan lawan, ini perlu segera diatasi,” katanya.