Dollah Salleh Umum Letak Jawatan

146
0
SHARE

SEPANG: Dollah Salleh secara rasminya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad bola sepak kebangsaan berkuat kuasa pada Jumaat.
Dollah mengambil keputusan itu selepas pasukan kendaliannya dimalukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jaringan 10-0 pada aksi perlawanan ketiga Kumpulan A bagi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, Khamis malam.

Menurut Dollah, dia telah berbincang dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung hasratnya untuk melepaskan jawatan itu sebaik sahaja tamat perlawanan dengan UAE.

“Datuk Hamidin meminta saya bersabar seketika. Tetapi pagi tadi (Jumaat) saya memaklumkan hasrat itu dan berbincang sekali lagi. Semuanya berjalan lancar dan FAM terima keputusan saya untuk meletak jawatan,” jelasnya kepada media sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat malam bersama skuad kebangsaan.

Biarpun cuma berselindung perasaan terkilannya di sebalik senyuman kepada pihak media, Dollah mengakui ia satu pengakhiran yang tidak baik.

“Mana-mana jurulatih pun mahukan pengakhiran yang baik. Namun saya terima dan melepaskan jawatan dengan hati terbuka.

“Sudah tentu peminat juga tak boleh terima dengan keputusan tersebut. Mana-mana jurulatih pun akan melakukan perkara yang sama dan saya tidak salahkan pemain.

“Kekalahan memang saya dah jangka, bukan kita nak menipu ke apa semua, kalau boleh nak kurangkan jaringan. Saya agak-agak satu atau dua, janganlah sampai lebih-lebih.Terperanjatlah jadi sampai begitu sekali,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai aksi pemain-pemainnya, Dollah menjawab; “Itu kena tanya pemain sendiri. Kalau tanya saya…semua tak jadi”.

Sebagai rekod, Dollah dilantik ketua jurulatih kebangsaan pada 28 Jun 2014, menggantikan Datuk K.Rajagobal yang kontraknya bersama FAM tamat penghujung tahun 2013.

Pencapaian terbaik Dollah sebagai jurulatih adalah pada 2005 ketika membawa pasukan Selangor bergelar juara treble – Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Jurulatih berusia 51 tahun itu telah membimbing empat pasukan dalam Liga Perdana untuk berada di kedudukan teratas iaitu MPPJ FC (2004), Selangor (2005), Pahang (2012) dan PDRM (2014) mara ke saingan Liga Super.