Doktor Parlimen Hilang

127
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai mengesahkan kehilangan seorang pegawai perubatan kanan yang bertugas di sebuah klinik di Parlimen, Dr B Sugumaran.

Dr Jeyaindran berkata, pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak lebih 2 dekad itu sudah hampir 2 bulan tidak bertugas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga cuba mengesannya melalui keluarga dan menghubungi telefon bimbitnya namun gagal.

“Sudah kira-kira 2 bulan Dr Sugumaran tidak datang kerja. Mengikut perintah am, jika seseorang kakitangan tidak datang kerja, kita akan guna semua prosedur untuk mengesan individu terbabit menerusi keluarga, telefon dan sebagainya.”Kementerian melakukan proses berkenaan dan kita sudah hubungi keluarga untuk mengesannya namun tidak berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan tatatertib sekiranya Dr Sugumaran gagal melaporkan diri atau memberikan respons.

“Kementerian kini dalam proses mengambil tindakan tatatertib kerana dia tidak hadir bertugas. Kebiasaannya, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dan beliau diminta bela diri dulu.

“Kita akan beri tempoh beberapa bulan untuk respons dulu.

“Fail berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan JPA akan ambil tindakan tatatertib yang mungkin akan menyebabkan beliau dipecat daripada jawatan,” katanya yang menjangka proses berkenaan akan mengambil masa 6 bulan.

Dr Jeyaindran berkata Dr Sugumaran mempunyai rekod kedatangan yang buruk kerana tidak hadir ke tempat kerja.

“Dia memang ada rekod kedatangan kerja tidak begitu elok. Selalu hilang,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran membuat laporan kehilangan “doktor Parlimen” berkenaan selepas gagal melaporkan diri lebih sebulan.

Doktor berusia 50 tahun itu berkhidmat di klinik yang ditetapkan di kawasan Parlimen.