DoJ Perlu Hormati Kedaulatan Malaysia – Salleh Keruak

20
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengumuman terbaharu Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak tertumpu kepada perkara utama iaitu mengenai jenayah yang didakwa dilakukan di bumi Amerika Syarikat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sebahagian besar kenyataan DoJ pada 20 Julai dan Khamis lepas menyebut tentang apa yang berlaku secara dalaman di Malaysia, dan sebahagian lebih besar tidak mempunyai kaitan dengan subjek sama ada jenayah telah dilakukan di bumi Amerika Syarikat seperti didakwa.

“Isu utama di sini bukan Amerika Syarikat atau DoJ, tetapi mereka memetik daripada aduan yang mereka terima. Jadi isu di sini ialah siapakah pihak-pihak yang membuat aduan itu kepada DoJ?” Salleh mempersoalkan dalam blog beliau https://sskeruak.blogspot.my/, harin ini.

Beliau merujuk kepada tindakan undang-undang terbaharu yang difailkan oleh DoJ untuk mendapatkan kembali aset-aset yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Beliau mengambil contoh mengenai campur tangan Amerika Syarikat dalam politik Malaysia semasa tahun 1998 hingga 2003, Salleh berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat marah dengan Amerika Syarikat kerana apa yang dikatakan campur tangan kuasa besar itu dalam politik Malaysia.

Salleh menarik perhatian bahawa Dr Mahathir begitu kecewa sehingga menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Amerika dan pada 2003 Anwar menyaman New Straits Times kerana melaporkan perkara itu.

“Mahathir merungut bahawa apabila Anwar melawat Amerika Syarikat, beliau diberi sambutan dengan tembakan 21 das walaupun beliau hanya timbalan perdana menteri sedangkan sebagai perdana menteri, beliau tidak diberi sambutan permaidani merah yang sama.

“Amerika Syarikat kemudian menggelar Anwar sebagai ‘prisoner of conscience’ (tahanan politik) dan ini menimbulkan lagi kemarahan Mahathir,” kata beliau.

Salleh menyebut bahawa, bagi Dr Mahathir, politik Malaysia adalah urusan dalaman Malaysia dan pihak luar tidak harus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa sebenarnya itu telah menjadi amalan antarabangsa untuk sekian lama.

“Negara-negara, sudah tentu, boleh mengulas mengenai hal ehwal dalaman negara lain jika ia melibatkan seperti hak asasi manusia, kebebasan sivil, buruh kanak-kanak, seks kanak-kanak, pembunuhan beramai-ramai dan sebagainya.

“Selain daripada itu, anda perlu menghormati kedaulatan negara lain,” kata beliau.