Dialog Politik Dalam Grabcar

856
0
SHARE

Oleh: AZMAN HUSSIN

NAIK Grabcar suatu hari ke suatu destinasi. Pemandunya seorang India. Umur akhir 30-an aku agak. Keretanya Perodua Myvi.

Aku cuba pancing pendirian politiknya. Itu yang selalu aku buat untuk tahu dan faham apa yang orang ramai fikir berkenaan isu semasa, terutamanya politik.

“Bila mengundi, bro?”

Itu soalan ujian biasa aku setiap kali aku mahu mulakan topik politik sebelum beralih kepada soalan-soalan lain yang lebih sensitif.

Ya, macam biasa, ramai yang menjawab tidak tahu.

Kemudian aku tanyakan, dia mengundi apa.

“Entahlah, bro. Tak pasti lagi.”

“Kenapa tak pasti pula?”

Dia kemudian berkata yang dia cenderung kepada pembangkang. Entah kenapa kali ini aku cakap lepas sahaja, selalunya aku bermain psikologi agar lawan bicara aku berfikir sendiri. Mungkin kerana aku nampak dia pun masih atas pagar, walaupun condong kepada pembangkang.

“Apa yang tak baiknya kerajaan sekarang?” aku tanya dia.

Dia sebutkan GST, duit jatuh, petrol naik harga, barang-barang jadi mahal, dan susah mahu cari makan.

Aku tahan ketawa. Sebenarnya ramai rakyat biasa yang termakan dakyah, persepsi dan propaganda yang dimainkan pembangkang. Mereka hanya jadi burung kakaktua yang mengulang apa saja yang disebut oleh pembangkang, sedangkan mereka sendiri tidak tahu perkara-perkara tersebut. Kalau pun mereka tahu, jalan pilihan mereka itu tidak berpijak di bumi nyata.

“U ingat kalau kerajaan bertukar, GST hapus ke? Semestinya jika GST hapus, kerajaan baru akan buat cukai lain pula. Semua ini sama sahaja, bro. Tutup lubang gali lubang. Semua ini sama sahaja. Mana kerajaan nak dapatkan duit untuk urus negara?”

Pasal nilai ringgit, aku cakap zaman Dr Mahathir lagi teruk jatuh. Kita bukan boleh kawal sepenuhnya. Jika keadaan politik negara tidak stabil, itu pun boleh buat pelabur hilang keyakinan. Harga petrol pun bukan kerajaan yang tentukan.

Dia cakap lagi, berita-berita luar negara kritik Perdana Menteri. Aku cakap mana ada media asing nak puji negara Malaysia.

“U ingat lagi zaman Dr Mahathir, dia pun teruk kena kutuk. Sebab apa? Sebab dia Perdana Menteri. Dulu orang panggil dia Mahafiraun, Mahazalim. Sekarang apa jadi? Ini bukan masalah Dr Mahathir atau Najib. Ini masalah Perdana Menteri. Sesiapa sahaja jadi Perdana Menteri, dia akan tetap dikritik dan akan dianggap bermasalah.”

Dia tergagap-gagap nak jawab persoalan aku.

Aku tanya lagi, bapa dia undi apa.

“Bapa i undi Barisan Nasional.”

“U ingat bapa u bodoh ke nak undi Barisan Nasional tanpa sebab, walhal ramai yang cakap kerajaan teruk? Kita fikir orang tua itu bodoh. Tetapi, kita lupa yang mereka banyak pengalaman. Kita muda-muda ini pendek akal. Sikit-sikit, marah, sikit-sikit nak tukar kerajaan. U tak fikir ke kenapa bapa u undi Barisan Nasional? Orang-orang tua panjang akal, mereka fikir jauh ke hadapan.. bukan macam kita. Mudah emosional, mudah kena hasut. Kita ingat tukar kerajaan masalah selesai. Itu semua angan-angan sajalah, bro.”

Aku terus bercakap panjang lebar kerana aku lihat dia pun tak emosional dan fikir apa yang aku cakap.

“U tengok negara-negara lain yang bergolak. Apa jadi? Kerana mahu tukar kerajaan, negara jadi huru-hara. Tengok Libya, apa jadi? Lepas negara hancur, baru rakyatnya sedar Muammar Gaddafi tidak sekejam seperti yang mereka bayangkan, malah apa yang mereka lalui sekarang lebih teruk lagi. Berapa banyak korban nyawa, harta benda? Semua itu tidak ada gunanya lagi menangis.”

Dia sebutkan 1MDB pula, dan Perdana Menteri curi duit.

“U tahu kenapa Dr Mahathir marah sangat sama 1MDB. Itu Mahathir takut sama 1MDB sebab 1MDB sudah ambil banyak projek kroni-kroni Dr Mahathir. PM dah ambil balik apa yang Mahathir bagi sama kroni-kroni, itu pasal Mahathir banyak marah sama Najib. 1MDB itu ancaman dan masalah kepada empayar kekayaan kroni-kroni Dr Mahathir, bukan masalah kepada negara pun.”

Aku fikir ramai rakyat yang tidak tahu sebenarnya. Mereka ulang dan percaya bulat-bulat saja apa saja yang pembangkang cakap. Mereka tidak sedar pemimpin-pemimpin pembangkang pun hidup kaya-raya. Mereka hidup dalam mitos, mempercayai sesuatu tanpa mereka sendiri mengkajinya. Rakyat telah dihasut ke satu arah, iaitu keburukan kerajaan sehingga mereka tidak berfikir sebaliknya. Dunia telah jadi hitam putih. Tanpa sedar, jika kerajaan buruk, mereka fikir yang menentang kerajaan itu di pihak benar. Itu yang ramai rakyat salah fikir.

“U jangan bodohlah, bro. Politikus ini sama sahaja. Janji sana janji sini, nak tagih undi sahaja. U ingat mereka boleh tunai ke janji-janji itu semua? Mereka janji saja, kalau mereka menang dan tak dapat tunaikan, mereka akan salahkan kerajaan lama.. mereka boleh saja kata BN dah habiskan duit, dan rosakkan negara, mereka perlu masa nanti baiki semula negara. Kalau ini jadi, u mahu cakap apa?”

Dia kemudian timbulkan isu negara banyak hutang, tak sama macam zaman Dr Mahathir dulu. Zaman Dr Mahathir katanya hutang sikit.

Aku jawab pada dia, “dulu gaji u rm1000, hutang u rm100. Sekarang hutang rm200, tetapi gaji u sudah rm3000. Memang besar hutang rm200 berbanding hutang rm100 zaman dahulu, tetapi u tengok pendapatan u sekarang. Maknanya hutang u sekarang lebih kecil walaupun jumlah dia besar, berbeza dengan hutang dulu.”

Akhirnya, aku beritahu bahawa aku bukanlah menyokong kerajaan membabi-buta. Aku tak katakan semua kerajaan buat adalah betul dan semua kritikan pembangkang adalah salah. Apa yang aku beritahu dia, kita hendaklah hidup dalam realiti dan berfikiran rasional, fikir apa kebaikan kepada diri sendiri. Apa pilihan terbaik untuk rakyat dalam pergaduhan gajah dengan gajah ini agar rakyat tidak tersepit, itu aku mahu dia fikir.

“Kalau u fikir pembangkang itu betul, perjuang hak rakyat, kenapa sekarang mereka terima Dr Mahathir? Ada Dr Mahathir bertaubat ke, minta maaf kepada rakyat ke? Bukan dulu pembangkang anggap Mahathir jahat ke, malah apa yang dituduh kepada beliau dahulu lebih teruk daripada Najib? U fikirlah. Ini semua politik. Orang-orang atas bergaduh kerana poket mereka dengan guna rakyat.”

Dia banyak diam sahaja.

“Cuba u fikir logik sikit. U cakap kerajaan tak betul kan? U ingat kalau mereka kalah, mereka mahu senang-senang serah kuasa ke? Mesti mereka buat sesuatulah. Ketika itu u nak buat apa? Masa tu tak timbul siapa betul siapa salah lagi.”

Ketika hampir sampai ke tempat tujuan aku, aku cakap lagi, “Lagi pun bro, kalau u ubah negara pun, bukan semestinya u jadi senang. Semua ini atas diri u sendiri, bro. U rajin, selalunya u akan dapat. Tukar kerajaan pun bukan jamin nasib u jadi lebih baik. Macam u bawa Grab ni, kalau u malas, u dapat duit ke?”

Masa aku nak keluar kereta, aku tanya berapa caj tambang kerana aku lupa. Dia jawab rm8.

Aku bagi sahaja rm10 dan tidak minta baki. Aku cakap sambil bergurau yang baki rm2 untuk Barisan Nasional.