Desakan Mukhriz Berundur Ada Agenda Peribadi – Muhyiddin

1243
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangannya jika tindakan ketua bahagian Umno Kedah menyeru Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan semalam dibuat atas kepentingan politik peribadi.

Menyifatkan Mukhriz seorang yang bersih dan disenangi, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, jika pucuk pimpinan Umno menerima desakan tersebut, parti itu akan makin hilang kepercayaan rakyat dan meningkatkan krisis keyakinannya.

“Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan menteri besar dan ketua perhubungan Umno Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat Kedah, maka ini amat malang bagi rakyat Kedah dan Umno yang sedang berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.

“Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran semakin getir pada hari-hari yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai seorang menteri besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh singkat, Mukhriz tentunya memerlukan sokongan semua pihak.

Terutamanya sokongan wakil rakyat dan pemimpin Umno Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan, katanya.

“Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah.

“Apatah lagi beliau adalah seorang menteri besar yang bersih, disenangi rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau,” kata timbalan presiden Umno itu. – INSIDER

SHARE
Previous articleMukhriz Minta Rakyat Kedah Bertenang
Next articleSaya Tak Gelojoh – Dr Vida