Desak Najib Berundur: Ketua Cawangan Tidak Gentar Dipecat UMNO

852
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Cawangan Rista Villa Perdana, Rushdan Mohamed, tidak gentar jika dipecat susulan desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Katanya, dia dan 20 UMNO cawangan telah melakukan tindakan yang tepat kerana Najib gagal berperanan sebagai Perdana Menteri yang baik apabila dituduh terlibat dengan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Saya tidak mempunyai masalah sekiranya dipecat , parti mempunyai hak untuk memecat saya, silakan. Kami mewakili 20 cawangan tidak gentar sekiranya dipecat, malah apa yang saya lakukan ini tidak melanggar Perlembagaan parti kerana akar umbi berhak bersuara.

“Gerakkan yang saya lakukan ini boleh memberi kesan kepada UMNO seluruh negara, kerana saya tidak risau dengan jawatan, apa sangat yang ada dengan jawatan, saya mengorbankan diri demi kebaikkan seluruh ahli parti,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing untuk membawa kesnya kepada UMNO Pusat.

Bercakap kepada FMT, Rushdan turut membidas kenyataan Marsum kononnya tindakan mendesak Najib berundur kerana dia kecewa apabila banyak kali tewas dalam pemilihan parti peringkat bahagian sebelum ini.

“Saya juga dituduh tidak tidak mengadakan mesyuarat cawangan pada 2014, tetapi apa yang berlaku bukan cawangan saya tidak bermesyuarat tetapi berpuluh cawangan lain melakukan pekara sama kerana berlakunya sabotaj parti semasa PRU13,” katanya.

Rushdan turut mendedahkan banyak cawangan dan bahagian UMNO dalam dan luar Selangor akan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan selepas ini.

“Di Sepang sudah lebih 20 cawangan menyokong tindakan kami, malah cawangan dan bahagian lain di Selangor dan negeri lain akan melakukan sidang media untuk menolak kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO tidak lama lagi,” katanya. – FMT