Derma RM2.6 Bilion Pengakuan Campur Tangan Kerajaan Asing – Ambiga

112
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Aktivis hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreenevasan menganggap kenyataan kerajaan berkenaan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri sebagai satu pembohongan yang menjerumuskan kerajaan ke dalam masalah lebih besar.

Penafian kerajaan yang ia bukan satu rasuah sebaliknya merupakan derma dari Timur Tengah ibarat satu pengakuan ia satu campur tangan dalam sistem pilihan raya Malaysia, kata presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) itu.

“Adakah mereka tahu apa yang mereka lakukan?

“Mereka sebenarnya menyatakan yang mereka membenarkan kerajaan asing dalam pilihan raya kita.

“Bukankah ini tidak masuk akal? Mereka tidak sedar pembohongan itu tidak mengeluarkan mereka daripada masalah tetapi ia menjerumuskan mereka ke dalam lebih banyak masalah,” katanya pada forum 1MDB: Will Najib or Malaysia Survive di Petaling Jaya, malam tadi.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, jemaah menteri yang lain sepatutnya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengosongkan jawatan menteri kewangan sehingga kontroversi wang dalam akaun peribadinya itu dijelaskan dengan sempurna.

“Sekurang-kurangnya saya mengharapkan Kabinet yang bertanggungjawab akan menggesa beliau mengosongkan jawatannya buat sementara waktu,” katanya.

Najib sebelum ini mengancam menyaman akhbar The Wall Street Journal yang mendedahkan kemasukan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau pada Mac 2013.

Beliau bagaimanapun tidak meneruskan hasrat itu selepas mendakwa wang itu merupakan “derma” pilihan raya dari Timur Tengah.

Seorang lagi ahli panel forum, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan berkata pendanaan politik bagi membiayai pilihan raya sebagai punca utama kepada masalah rasuah dalam pentadbiran negara.

“Pembiayaan politik adalah ibu kepada semua rasuah. Hakikat yang parti politik perlu meraih sebegitu banyak wang bagi memenangi pilihan raya dan kekal berkuasa punca segala rasuah.

“Kita tidak akan mampu menangani masalah rasuah yang membelenggu kita hari ini selagi kita tidak menyelesaikan masalah pembiayaan politik ini,” katanya.

Sementara itu, pemimpin DAP Tony Pua yang turut menjadi ahli panel, membidas kenyataan Najib yang dakwanya sentiasa meminta masa selama 6 bulan bagi menyelesaikan masalah membelenggu dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, masalah berkenaan tidak akan mampu diselesaikan dalam jangka masa terdekat kerana ‘lubang’ hutang 1MDB sudah terlalu besar untuk ditutup.

“Dia minta tempoh 6 bulan pada Januari, dan memintanya semula pada Mac, Jun dan sekali lagi minta tempoh 6 bulan pada September.

“Dia akan terus minta 6 bulan kerana lubang (hutang) kini terlalu besar untuk dikambus,” katanya.

Forum malam tadi dikendalikan bekas ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah dan turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq dan profesor ekonomi Universiti Malaya Terence Gomez sebagai ahli panel. – INSIDER