“Derma” Arab Saudi Kepada Najib Bangkitkan Keraguan – WSJ

305
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Walaupun Datuk Seri Najib Razak dibersihkan daripada salah laku, peguam negara tidak menangani beberapa persoalan mengenai sumbangan RM2.6 bilion daripada penderma Arab Saudi yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri itu, kata The Wall Street Journal (WSJ).

WSJ, dalam bahagian analisis mengenai keputusan pendakwa semalam berkata, Tan Sri Mohamed Apandi Ali gagal menjawab beberapa persoalan dibangkitkan pembangkang dalam kenyataan 4 muka suratnya itu.

“Kenyataan 4 muka surat peguam negara itu tidak menangani beberapa soalan tokoh pembangkang Malaysia untuk mendapatkan jawaban, termasuk: Siapa yang secara spesifiknya menderma wang itu? Mengapa ia didermakan? Mengapa ia mengambil masa lebih 6 bulan bagi kerajaan untuk mengatakan di mana wang itu datang? Dan apa yang berlaku kepada wang tidak dikembalikan?

“Kenyataan itu juga tidak menyatakan mengapa wang masuk ke dalam akaun Najib melalui syarikat British Virgin Islands tidak bernama dan bank swasta Swiss dimiliki Abu Dhabi yang amat berkait rapat dengan 1MDB (1Malaysian Development Berhad).”

Selepas hampir 6 bulan penyiasatan, Apandi pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya berkata, tidak terdapat bukti mencukupi untuk mengaitkan perdana menteri.

“Berdasarkan kepada fakta dan bukti, tiada kesalahan jenayah dilakukan perdana menteri berhubung 3 kertas siasatan.

“Saya dengan ini memerintahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menutup kertas siasatan,” kata Apandi.

Tiga kertas siasatan itu ialah derma RM2.6 bilion dan 2 berhubung SRC International yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen Diperbadankan (KWAP).

Apandi juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung syarikat Kementerian Kewangan, SRC International.

Apandi turut mendedahkan, Najib memulangkan semula AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013 kerana wang itu tidak digunakan.

SPRM tahun lepas membuka siasatan berikutan laporan WSJ dan Sarawak Report pada Julai tahun lepas yang mendakwa derma RM2.6 bilion dan RM42 juta berasal daripada SRC International, anak syarikat yang diilhamkan Najib, 1MDB.

Ini adalah sebagaimana menurut dokumen berhubung aliran wang yang diberikan penyiasat Malaysia, kata WSJ dan Sarawak Report.

Perdana menteri semalam mengalu-alukan keputusan itu dan berkata ia adalah “satu gangguan yang tidak perlu bagi negara”.

“Hasil keputusan adalah susulan siasatan terperinci institusi berkaitan, dan beliau mengesahkan apa yang saya katakan selama ini: tiada jenayah dilakukan,” kata perdana menteri dalam satu kenyataan 4 perenggan yang dikeluarkan pejabat beliau di Putrajaya.

SHARE
Previous articleDerma RM2.6 Bilion Kekang Pengaruh Ikhwan Muslimin, Lapor BBC
Next articleKajian PBB dan Pricewaterhouse Dapati TPPA Tak Menguntungkan Negara – Wan Azizah