Demonstrasi Bersih 4.0 Tidak Mampu Gulingkan Kerajaan – SAMM

439
0
SHARE

PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan peserta demonstrasi Bersih 4.0 agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan sewaktu perhimpunan itu diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shahrin menyatakan, demonstrasi yang diadakan selama 48 jam itu hanyalah sekadar ruang untuk menyuarakan pendapat bagi mendesak penambahbaikan sistem pentadbiran negara khususnya penambahbaikan pilihanraya.

Namun SAMM juga menyedari hakikat bahawa, perhimpunan Bersih 4.0 itu tidak mampu untuk menggulingkan kerajaan yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“SAMM mendukung penuh tuntutan Bersih ke arah Pilihanraya Umum yang bebas dan adil, yang mana SAMM merupakan sebahagian tenaga yang mengasaskan Bersih sejak dari zaman Syed Syahir menjadi pengerusinya.

“Malah tidak keterlaluan, strategi demo Bersih 1.0 yang diwarisi hingga kini merupakan idea asal SAMM bersama sekutu ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Najib tidak mengeluarkan sebarang yang keterlaluan dalam menghadapi perhimpunan Bersih 4.0 nanti.

Mengulas lanjut, Badrul juga menegaskan bahawa SAMM tidak pernah membuat sebarang ketetapan untuk mana-mana komrad SAMM menyertai perhimpunan Bersih 4.0 itu.

Selain itu, ia juga menyelar tindakan-tindakan kumpulan anti-Bersih 4 termasuklah aksi kumpulan Baju Merah yang disifatnya sebagai separa matang.

Katanya, walaupun berbeza pandangan politik, tetapi ia tidak sepatutnya dizahirkan dengan tindakan mengugut dan cuba menimbulkan kekacauan terhadap sebuah perhimpunan aman yang lain.

“Jika kumpulan ini mahu membuat perhimpunan untuk tujuan menyokong Perdana Menteri, buatlah di lokasi lain atau di masa yang lain kerana Bersih telah umum lebih awal,” ujar beliau lagi.