Demokrasi Sudah Mati – Tun M

442
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Demokrasi di Malaysia sudah mati, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mengisytiharkan menerusi blognya, dengan berkata apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lakukan terhadap siasatan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) “tidak pernah berlaku” dan bertujuan hanya untuk “mengekalkan dirinya”.

Dalam satu artikel panjang dalam blog popularnya chedet.cc, bekas perdana menteri yang menerajui Malaysia selama 22 tahun itu berkata rakyat kini “rakyat kini tidak tahu apa perlu dibuat” kerana langkah terang-terangan pentadbiran negara pada masa ini terhadap mereka yang terbabit dalam siasatan 1MDB.

Beliau menyebut mengenai bekas peguam negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tindakan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB.

“Apa yang Najib buat ini tidak pernah dibuat di Malaysia. Rakyat tidak tahu apa perlu dibuat. Prospek yang Najib akan terus memerintah negara ini sangat menyedihkan.“Malaysia di mana pilihan raya dapat menyaksikan parti pembangkang memenangi keseluruhan negeri, akan tiada lagi.

“Demokrasi sudah mati. Ia mati kerana pemimpin yang dipilih memilih untuk menggulingkan institusi kerajaan dan membuatkan jadi alat untuk beliau mengekalkan kedudukannya.

“Tidak ada lagi demokrasi untuk sesiapa melemahkan. Sudah pasti bercakap mengenai 1MDB tidak akan melemahkan sesuatu yang tidak lagi wujud. Jika ada sesiapa yang perlu disoal siasat oleh polis, orang itu ialah Najib,” kata Dr Mahathir dalam artikelnya hari ini.

Dalam blognya, Dr Mahathir mengingatkan semula beberapa tuduhan salah laku 1MDB, termasuk kerjasamanya dengan PetroSaudi International dan dananya di Pulau Cayman, di mana sebenarnya wang itu kini tidak ada sesiapa yang boleh pastikan, katanya, kerana ia kini tidak jelas jika wang yang dihantar pulang itu dalam bentuk aset atau tunai.

Dr Mahathir juga menceritakan semula mengenai susah payah 1MDB untuk bayar faedah terhadap pinjamannya dan bagaimana hartawan T. Ananda Krishnan membantu syarikat itu, selain hutang Putrajaya sebanyak RM900 juta.

Dr Mahathir kemudian memperincikan bagaimana Najib secara sistematik melumpuhkan siasatan terhadap tuduhan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke akaun peribadinya, selepas dakwaan itu dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ).

Beliau berkata, Najib menggelarnya derma kerana tidak dapat menafikan laporan WSJ wang itu masuk ke akaunnya.

Dr Mahathir kemudian menyenaraikan langkah diambil Najib – pertama dengan memberitahu orang ramai berhenti bercakap mengenai 1MDB, kemudian menyingkirkan bekas peguam negara yang juga ahli pasukan petugas khas menyiasat dakwaan berkenaan, dan diikuti pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri kerana mengkritik perdana menteri mengenai 1MDB secara terbuka.

Beliau berkata, timbalan perdana menteri yang baharu, juga menteri dalam negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, “tidak pernah mempersoalkan Najib mengenai 1MDB”.

Dr Mahathir turut menulis bagaimana rombakan Kabinet oleh Najib “secara berkesan melumpuhkan” PAC dan menghentikan kerja siasatan terhadap 1MDB.

Beliau juga mengulas mengenai gangguan polis terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan 1MDB.

Beliau mendakwa ada khabar angin mengatakan seorang lagi ahli pasukan petugas khas – gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zati Akhtar Aziz – sedang disiasat kerana rasuah.

“Dengan PAC dan pasukan petugas khas lumpuh dan peguam negara tersingkir, kerja siasatan terhadap 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib terhenti sepenuhnya.

“Najib kini selamat daripada didakwa kerana mengumpul wang secara haram,” tulisnya. – INSIDER