Dakwaan ‘Vape’ Ganja Tak Masuk Akal – Peniaga

275
0
SHARE

PUTRAJAYA: Dakwaan kerajaan bahawa terdapat ganja dalam perasa vape yang dijual tidak masuk akal, kata peniaga yang menyertai protes di luar Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Justeru, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menuntut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berhenti mengeluarkan kenyataan sebegitu atau berdepan tindakan undang-undang.

“Adakah kita ketagih dengan ganja? Adakah kita ketagih dengan dadah?” soal presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah.

Soalan itu dijawab “tidak” oleh sebahagian daripada 200 peniaga yang berhimpun di situ bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka berhimpun dengan memakai baju hitam bertulis “Save vape industry” (selamatkan industri vape).

Memorandum IKHLAS turut menuntut kementerian berhenti mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkaitan vape dan ganja.

Pertubuhan itu juga merayu kabinet mengkaji semula cadangan kawalan jualan cecair nikotin melalui farmasi sahaja serta menolak rampasan di masa depan.