Dakwaan Rasuah Guan Eng, MO1 Cetus Kekecohan Di Dewan Rakyat

15
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Umno Datuk Seri Rahman Dahlan sempat membidas pembangkang ketika menjawab soalan mengenai persepsi rasuah negara.

Beliau menjelaskan Indeks Daya Saing Global terdiri daripada 2 komponen iaitu tinjauan, yang berdasarkan kepada persepsi, dan data, yang berdasarkan kepada angka daripada agensi kerajaan.

Menteri itu berkata kes dakwaan rasuah yang sedang dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika ini menyumbang kepada penurunan kedudukan negara dalam indeks antarabangsa.

“Orang bertanya adakah rasuah di negara kita meningkat? Ya, betul! Sebab ketua menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) dituduh di mahkamah.

“Kalau boleh nak membantu kerajaan menurunkan indeks ini, minta Yang Berhormat (Lim Guan Eng) letak jawatan,” katanya di sesi soal jawab Dewan Rakyat.

Nga Kor Ming (DAP-Taiping) kemudian bangun untuk menanyakan mengenai “Malaysian Official 1” (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Namun sejurus selepas itu Othman Abduh (BN-Pendang) bangun dan Dewan Rakyat terjerumus menjadi sesi jerit-menjerit.

Othman mencelah: “MO1 mana dituduh! Ketua menteri Pulau Pinang dituduh!”

Nga membalas: “Harta sudah disita berbilion-bilion di Amerika Syarikat…kerajaan buat apa? Tidurkah?”

Timbalan Speaker Datuk Seri Ismail Said berjaya mengawal keadaan dan mengingatkan wakil rakyat hari ini hari terakhir sidang Dewan Rakyat.

Ramlan kemudian menyambung dengan berkata jawapannya berdasarkan fakta, untuk menjawab soalan mengenai persepsi rasuah.

“Faktanya setiausaha agung parti (DAP) didakwa rasuah.”

Tetapi Nga meminta Ramlan memberitahu adakah menteri Kabinet akan mengisytiharkan aset kepada Parlimen.

Ramlan menjawab: “Inilah masalahnya bila tanya soalan yang sarat dengan sindiran politik, kita jawab dengan fakta, Yang Berhormat sendiri yang melatah. Bertenang.”

“Jadi persepsi rakyat memberikan negatif, maka itu indeks rasuah kita menurun.”

Mengenai aset, Ramlan berkata menteri Kabinet mengisytiharkan aset kepada perdana menteri, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi akses kepada pengisytiharaan itu.

“Pengisytiharaan aset yang dibuat oleh Pulau Pinang, Selangor, walaupun bunyinya cantik tetapi tidak bermakna, dari pandangan saya.

“Bila pemimpin DAP dan PKR contohnya mengisytiharkan aset, tidak bermakna tidak berlaku rasuah. Itu bukan indikasi terbaik. Kalau seorang pemimpin itu rasuah – kalau – dia boleh letak aset itu di bawah isteri, anak, kroni, proksi dan sebagainya.”

Beliau berkata terpulang kepada SPRM sebagai sebuah agensi bebas untuk menyiasat pengisytiharaan aset para menteri, dan sebelum ini menyaksikan penjawat awam pernah didakwa kerana rasuah.

Beliau menjelaskan kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan GST. Beliau menyifatkan kenyataan Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST sebagai retorik dan “langkah ke belakang”.

Soalan tambahan Nga mengenai kenyataan SPRM yang mengatakan rasuah sekarang ini semakin serius berbanding 10 tahun lalu. Beliau bertanyakan sama ada menteri Kabinet akan mengisytiharkan aset kepada Dewan Rakayt. Beliau juga bertanyakan adakan kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikan SPRM agensi bebas.

Soalan lain mengenai rancangan mengurangkan kos sara hidup dan adakah kerajaan akan menghapuskan GST.