‘Cubaan Penjajahan Fizikal Berlaku Di Malaysia’ – Pakar Akademik

636
0
SHARE

Ibrahim_Abu_ShahOleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Kemerdekaan negara Malaysia sudah menjangkau usia 58 tahun, namun penjajahan secara fizikal masih berlaku dengan cubaan oleh pihak yang tidak berpuas hati melihat kemajuan negara ini.

Tokoh Akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah menjelaskan, walaupun negara ini dilepaskan oleh penjajah British tetapi masih terdapat pihak menjadi pemantau dan cuba mengawal pergerakan politik, ekonomi dan sebagainya mengikut kehendak mereka terhadap negara ini.

“Orang kita sering bercakap tentang penjajahan minda, namun ingin saya beritahu bahawa masih berlaku lagi sebenarnya penjajahan dari segi fizikal walaupun penjajah sudah tiada lagi di negara ini.

“Kita sebenarnya masih tertakluk kepada kuasa-kuasa besar di mana kita tidak boleh sesuka hati untuk membuat apa saja,” kata beliau kepada MySuara ketika ditemuramah sempena kemerdakaan.

Ibrahim yang juga Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tiada negara yang bebas kerana ada pihak-pihak yang bergerak mengawalnya.

“Bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain pun sama. Tiada negara yang bebas dari mereka ini. Ada kuasa berada di belakang yang menentukan.

“Kita ambil contoh negara-negara Timur Tengah banyak dihancurkan oleh kuasa-kuasa besar ini. Kuasa besar ini bagi mereka, mereka boleh menentukan sesiapa pemimpin yang mereka mahu dan siapa pemimpin yang patut disingkirkan,” jelas beliau.

Oleh itu, mengikut senario di Malaysia, Ibrahim berkata rakyat harus bersatu padu dan jangan termakan hasutan kuasa-kuasa besar ini kerana mereka hanya mahu melihat sesebuah negara huru-hara.

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja asalkan matlamat tercapai.

“Kuasa-kuasa besar yang mengawal pergerakan ini tidak suka dengan pemimpin negara kita kerana pemimpin negara kita tidak mudah mengikut telunjuk mereka, oleh itu mereka menimbulkan pelbagai perkara supaya rakyat menolak kempimpinan hari ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, disebabkan itulah pengertian kemerdekaan harus dihayati dengan sebaik-baiknya supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah pihak luar.

“Sekarang ini secara keseluruhannya saya lihat masyarakat hari ini tidak lagi mengendahkan tentang kemerdekaan negara kita. Ini berlaku kerana mereka lihat tiada apa-apa masalah yang berlaku dan ramai di antaranya tidak merasa keperitan pada zaman sebelum merdeka.

“Oleh itu, kita harus menyedarkan masyarakat pada hari ini supaya dapat menghayati erti kemerdekaan supaya kedaulatan negara kita terus terpelihara,” katanya.